Anakmu bukan punca rezekimu sempit

(وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡیَةَ إِمۡلَـٰقࣲۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِیَّاكُمۡۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ كَانَ خِطۡـࣰٔا كَبِیرࣰا)

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

[Al-Isra’: 31]

Advertisement


Allah melarang membunuh anak-anak yang dikatakan menjadi punca kepada kesempitan hidup masyarakat jahiliah dulu. Lalu Allah memberi jaminan rezeki itu adalah ketentuanNya. Membunuh anak atas apa jua sebab adalah dosa, apatah lagi menyalahkan mereka sebagai punca kita susah.

Syeikh Sya’rawi menyebutkan ketika mentafsirkan ayat ini bahawa kefakiran itu telah ada sebelum zuriat dilahirkan lagi. Bererti rezeki kita Allah telah jamin, begitu juga rezeki si anak. Amatlah tidak logik dengan kelahirannya kita terus menuduh dengan tuduhan yang berat.

Tidak dinafikan, dalam zaman ini, cabaran ekonomi amat menggusarkan. Kehidupan semakin mencabar tetapi perihal kewangan tidak berkembang seiring. Sebab itu kita lihat sebelum ayat ini Allah menyebutkan soal usah membazir, pengurusan harta dan persediaan kehidupan. Rungutan terhadap kos sara hidup yang semakin bertambah juga tidak dipertikaikan akan kebenarannya, maka Islam juga memerintahkan umatnya untuk merancang.

Ia akan berbalik semula kepada persoalan asas, apakah erti kebahagiaan? Kalaulah bahagia itu bererti material dan kebendaan, maka kita akan sentiasa merasa terbeban dengan zuriat dan mereka adalah ancaman terhadap harta-harta kita. Maka tidak hairanlah andai tindakan membunuh itu dibuat.

Barangkali kita masih lagi mampu meneruskan hidup adalah kerana anak-anak. Ya, mereka adalah ujian untuk sang ayah dan ibu. Jadikanlah mereka jambatan untuk beroleh kebaikan sebanyak-banyaknya, bukan pula jalan untuk kita beroleh dosa dan keburukan.

Moga Allah rahmati kedua ibu bapaku, juga ibu bapa mertuaku.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 5/2/2020