Dapat terus berjuang adalah rahmat Allah

DUNGUN: Keberadaan di dalam PAS sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam merupakan rahmat wajar disyukuri oleh setiap ahlinya.

Advertisement

Pengarah MTD Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, justeru setiap ahli perlu merasa bangga untuk terus kekal berada di dalam jemaah ini.

“PAS sebagai sebuah parti gerakan Islam telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Jadi penyertaan setiap ahlinya terutama pendukung walaupun hanya di peringkat akar umbi ianya merupakan mata rantai kepada perjuangan menegakkan Islam.

“Di antara rahmat yang dapat kita rasai apabila berada di dalam jemaah ini ialah jiwa akan sentiasa tenang, tidak meletakkan dunia sebagai matlamat malah sentiasa merasa cukup dengan apa yang dimiliki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Cawangan Batu Sawar, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, Muslimat PAS memainkan peranan yang penting di dalam menyemarakkan perjuangan menegakkan Islam ini.

“Sebagaimana kita tahu, wanita mempunyai sifat yang khusus ada pada dirinya yang tidak dimiliki oleh orang lelaki sehingga disebut tangan yang menghayunkan buaian mampu mengoncangkan dunia.

“Namun begitu, keberadaan Muslimat bukanlah untuk menyaingi kaum lelaki kerana wanita memiliki kelemahan ianya tidak sebagaimana golongan yang memperjuangkan hak kesamarataan dengan fahaman Feminisme,” jelasnya.

Sebaliknya PAS menurutnya, melindungi hak kaum wanita mengikut lunas Islam di dalam masa yang sama menyediakan ruang untuk turut berjuang dengan mengembangkan bakat sebagai wanita terhormat. – HARAKAHDAILY 5/2/2020