Dunia falsafah era Reinassance

CIRI-ciri umum

(1) Sebelum ini, saya ada menulis mengenai Realiti Kancah Falsafah Baru [1]. Di dalam artikel ini pula, akan menjelaskan beberapa ciri ciri falsafah baru.

Sebagai gambaran bagi membezakan alam falsafah yang lain. Iaitu;

(a) Kemerdekaan atau kebebasan

(b) Menghormati kebebasan individu

(c) Prihatin terhadap kajian mengenai pengetahuan (Epistemologi)

(d) Semua ilmu terpisah daripadanya

(e) Meraikan kecenderungan terhadap material dan anti-tuhan

(f) Cenderung ke arah praktikal bukan teori semata-mata

(2) Apa yang dimaksudkan dengan kemerdekaan atau kebebasan? ia adalah pembebasan diri daripada sebarang ikatan dan kongkongan yang telah membelenggu mereka pada zaman gereja.

Ketika zaman ini, Falsafah telah diputuskan serta merta daripada sebarang bentuk keagamaan, dan meletakkan diri individu itu sebagai bebas, tiada sebarang ikatan yang boleh menyekat individu daripada berfikir.

(3) Unsur ketuhanan yang diajar oleh Falsafah Gereja mengalami percanggahan yang teruk dengan akal manusia. Tetapi mereka dipaksa dan diajar dengan konsep ketuhanan tersebut.

Maka, Falsafah Baru telah mengubah segalanya, sehingga menimbulkan pemisah yang besar di antara Falsafah dan Agama (Sekularism).

Bebas daripada pemikiran Aristotle


(1) Sepertimana yang telah disebutkan, manhaj Aristotle telah digazetkan ke dalam pemikiran manusia ketika zaman kekuasaan gereja.

Sehinggakan mereka tidak dibenarkan berfikir luar daripada pemikiran Aristotle. Ini kerana pemikiran beliau agak ada keterikatan dengan agama.

(2) Antaranya ialah mantik bergambar dan pandangan Aristotle terhadap Fizik. Pendekatan yang digunakan oleh Aristotle banyak bercanggah dengan Konsep Kritikan, yang wujud di dalam Falsafah Baru.

Maka, Falsafah Baru telah meletak satu kebebasan berfikir luar daripada pemikiran dan susunan Aristotle, dan luar daripada aturan dan ketetapan agama. Maka, ia menyebabkan ahli Falsafah lebih menjauhi agama.

(3) Descartes (1596-1716) telah menghasilkan satu rumus yang menyelesaikan pertembungan di antara agama dan ilmu. Iaitu dengan mengatakan bahawa ilmu menggunakan akal, manakala agama itu menggunakan hati.

Maka, ilmu adalah satu bahagian, dan hati adalah bahagian yang lain. Rumus ini menyebabkan jurang yang lebih jauh di antara Falsafah dan Agama.

(4) Falsafah Baru ini diperjuangkan oleh individu-individu, dan tidak tumbuh atas nama perkumpulan sepertimana yang berlaku pada Zaman Pertengahan (kurun ke 4 hingga 14).

Ia juga berbeza dengan Golongan Sophisme (sufusta’iy), yang mengatakan bahawa manusia adalah neraca bagi segala ukuran dalam semua perkara.

Kebebasan individu yang dibawa oleh Golongan Sophisme tidak sama dengan kebebasan individu yang dibawa oleh Falsafah Baru.

Kebebasan dan epistemologi

(1) Mengapa kebebasan Sophisme tidak sama dengan Falsafah Baru? Ini kerana Falsafah Baru, membuka ruang kepada individu untuk berfikir, berpandangan dan bebas daripada sebarang ikatan atau kuasa yang mengongkong.

Antaranya Descartes (1596-1716) telah mendorong manusia supaya memiliki peribadi yang bersifat ‘berkuasa’ ke atas dirinya. Beliau telah mencipta asas yang dinamakan ‘kekuatan dorongan untuk bebas’ dan tidak terkongkong.

(2) Selain elemen kebebasan, Falsafah Baru juga memberi perhatian terhadap Epistemologi. Ia adalah kajian mengenai kemampuan seseorang untuk mengetahui mengenai kewujudan.

Maka, ia akan mempersoalkan, sejauh manakah kemampuan seseorang itu untuk mengetahui perkara yang zahir, perkara yang ghaib, dan kemampuan manusia mengetahui hakikat sebenar sesuatu benda tersebut.

(3) Di dalam kajian Epistemologi ini, terbahagi kepada dua pemikiran:

(a) Aliran pertama menolak kemampuan manusia untuk mengetahui hakikat sesuatu, bahkan mereka mengatakan bahawa pengetahuan manusia hanyalah sekadar meragui sesuatu. Iaitu manusia tidak mampu untuk meyakini sesuatu hakikat.

Aliran ini menggunakan kaedah keraguan, dan mereka juga bermatlamat untuk meragui sesuatu, bukan untuk mengetahui hakikatnya. Atau dengan kata lain, mereka mengkaji, adalah semata-mata untuk meraguinya.

(b) Aliran kedua pula meletakkan bahawa manusia mampu mengetahui hakikat sesuatu, dan meyakininya, bukan meragui sepertimana yang dipegang oleh aliran sebelum ini. Aliran ini menggunakan kaedah kritikan, untuk mendapatkan kepastian dan keyakinan.

(4) Aliran ini dipelopori oleh Immuel Kant (1724-1804) sendiri. Iaitu, beliau meletakkan akal manusia ini di bawah undang-undang kritikan, dan kajian.

Dengan kata lain, seseorang itu tidak mampu mengenali hakikat sesuatu dengan hanya menggunakan akalnya semata-mata. Ia perlu kepada kritikan terlebih dahulu.

Terasing daripada ilmu-ilmu lain

(1) Antara ciri-ciri Falsafah Baru ialah ia terasing dengan ilmu-ilmu lain, iaitu ilmu-ilmu yang lain terpisah daripadanya. Maka, di dalam membincangkan perkara ini, terbahagi kepada dua persoalan utama, iaitu:

(a) Setelah terasing daripada ilmu-ilmu lain, apakah yang berbaki dalam kajian Falsafah?

(b) Apakah hubungan di antara Falsafah dan ilmu?

(2) Falsafah pada zaman permulaan kemunculannya membincangkan mengenai alam secara umum. Kemudian zaman seterusnya memfokuskan kepada kajian mengenai diri manusia.

Kemudian perbahasan mengenai Falsafah berubah lagi, sehinggalah zaman Falsafah Baru. Antara perbahasan Falsafah di zaman ini yang dilihat terasing itu ialah:

(a) Epistemologi

Telah disebutkan sebelum ini, iaitu ilmu yang mengkaji mengenai kemampuan seseorang untuk mengenali hakikat sesuatu. Ia adalah susulan daripada Antologi, yang mengkaji mengenai kewujudan.

(b) Metafizik

Metafizik adalah lawan kepada Fizik, iaitu kajian di sebalik kewujudan. Antaranya ialah kajian mengenai punca kewujudan, ketuhanan, kuasa ghaib dan sebagainya.

(c) Akhlak

Ilmu akhlak adalah ilmu yang berkaitan dengan nilai yang terdapat pada diri manusia. Ia adalah cabang kepada Eksiologi, ataupun yang dinamakan sebagai ilmu penilaian.

Kajian falsafah

(1) Kesimpulannya, kajian di dalam Falsafah berkurangan kepada 3 perbahasan (mengikut pembahagian lain), iaitu:

(a) Ontologi: Kajian mengenai kewujudan, iaitu Fizik dan Metafizik

(b) Epistomologi: Kajian mengenai kemampuan untuk mengetahui hakikat kewujudan, samada Aliran meragui atau Aliran meyakini

(c) Aksiologi: Kajian mengenai penilaian terhadap sesuatu, iaitu Ilmu Mantik, Ilmu Kecantikan dan Ilmu Akhlak

(2) Di sana, kita perlu untuk mengetahui apakah hubungan di antara Falsafah dan ilmu-ilmu lain. Antaranya, Falsafah banyak memberi aspirasi kepada peningkatan dan pengembangan ilmu.

Begitu juga Falsafah yang berfungsi sebagai induk, yang membuka pintu-pintu perbahasan ke dalam ilmu-ilmu yang pelbagai dan meluas.

(3) Dalam masa yang sama, Falsafah juga memerlukan ilmu dalam menghurai isi kandung dan mengaplikasikan pemahaman falsafah dalam hidup. Atau dengan kata lain, kedua-duanya saling memerlukan di antara satu sama lain.

(4) Kesimpulannya, Falsafah tidak akan terhapus dengan kembangnya ilmu, begitu juga ilmu tidak akan berkembang dengan tanpa Falsafah.

Bahkan perkembangan Falsafah banyak menghidupkan ilmu, dan perkembangan ilmu itu juga yang mendorong pengembangan ilmu Falsafah.

Material dan Atheis

(1) Sepertimana yang telah disebutkan, Falsafah Baru muncul disebabkan kongkongan daripada gereja yang menyekat kebebasan manusia ketika itu.

Falsafah yang diajar, diselarikan dengan manhaj Bible yang bertentangan dengan akal. Maka, hasil daripada perbuatan ini, menatijahkan pemikiran yang bersifat material, dan anti tuhan.

(2) Material yang dimaksudkan di sini ialah Pemikiran Materialisme yang membarah pada kurun ke 18 di England dan Perancis, sehinggalah muncul pemikiran Atheis.

Ia bertambah teruk apabila menjelang kurun ke 19. Pemikiran ini bercanggah terus dengan kewujudan alam ghaib yang menjadi perbahasan Metafizik.

(3) Pada permulaan kemunculan ini (1800-1850), banyak terpengaruh dengan Aliran Realisme, yang dibawa oleh August Comte (1798-1857). Beliau meletakkan kewujudan alam ini hanyalah apa yang boleh dicapai oleh pancaindera.

Pada bahagian kedua tempoh ini, banyak dipengaruhi dengan pemikiran Darwin (1809-1882) dan Karl Marx (1818-1883). Teori mereka yang masyhur, iaitu Teori Evolusi yang jelas bersifat materialisme.

(4) Manakala istilah anti tuhan (Atheis) pula banyak menguasai dunia pada era Falsafah Baru, sehinggalah berterusan ke era Falsafah Moden. Ia terhasil daripada dua saluran, iaitu Pemikiran Materialism dan Rasionalism.

Pemikiran ini berpegang dengan ketiadaan alam ghaib. Maka, semua yang boleh dicapai oleh pancaindera adalah wujud, dan selain daripada itu disifatkan sebagai tidak wujud.

Hasil-hasil Materialism

(1) Pemikiran Materialism menolak kewujudan Allah, malaikat, syurga, neraka, roh dan sebagainya yang menjadi sebahagian daripada perbahasan metafizik.

Hasil daripada pemikiran ini, maka wujudlah pemikiran Marxisme, Darwinisme dan Positivisme (berpegang bahawa ilmu itu boleh didapati melalui pengalaman, dan menolak sebarang unsur metafizik).

(2) Rasionalism pula menganggap bahawa rasional adalah segalanya. Dengan mereka berpegang dengan ketuanan akal, dan menolak sebarang unsur ‘luar daripada rasional’.

Maka, menurut rasional mereka, Allah itu tidak wujud disebabkan ia tidak boleh dicapai oleh sebarang pancaindera, maka mereka menyifatkan bahawa tiada tuhan!

(3) Secara umumnya, Falsafah Baru cuba menghidupkan pemikiran, sebagai pemikiran yang sebenar. Bukan hanya sekadar berfikir atau berteori, tetapi diaplikasikan pula dalam praktikal.

Pada awal kurun ke 17, telah terpapar gambaran jelas mengenai haluan berpemikiran praktikal. Ia adalah hasil daripada revolusi yang menolak sistem kongkongan Kristian, yang dibawa oleh gereja.

(4) Sistem gereja mengajar mereka berteori semata-mata, dan mengikat teori mereka tanpa sebarang praktikal. Maka, ini menyebabkan teori tersebut tidak bermakna untuk diaplikasikan dalam hidup.

Antara yang terhasil daripada revolusi ini ialah Pemikiran Empirisisme (eksperimen) yang didukungi oleh Francis Beacon. Ia adalah pemikiran yang mengatakan bahawa ilmu yang sebenar hanya boleh diketahui selepas ia dieksperimenkan. Bukan hanya dengan menggunakan akal semata-mata.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3130969580278114&id=100000953077134

Advertisement

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 5/2/2020