LGBT berbeza dengan kes khunsa

PERJUANGAN menuntut hak kesaksamaan dan mengistilahkannya sebagai memperjuangkan hak asasi manusia seolah-olah sudah menjadi zikir harian masyarakat di Malaysia. Di dalam Islam jelas mengatakan hak asasi manusia tetap dijamin bahkan Islam lah yang memperjuangkan jaminan hak asasi manusia namun ianya diikat dengan syarat tidak melanggar hukum-hakam syarak yang merupakan hak-hak Allah. Hak-hak Allah ini wajib dipatuhi terlebih dahulu kerana asalnya Allah lah yang mengurniakan hak kepada manusia untuk hidup di atas muka bumi ini.

Antara perjuangan golongan ini ialah memujuk masyarakat Islam di negara ini untuk menerima kewujudan LGBT iaitu satu akronim merujuk secara kelompok kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual. Hukum Islam secara jelas mengharamkan semua perbuatan ini berdasarkan al Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.

Ahli psikologi dan pakar perubatan psikiatri mengklasifikasikan golongan ini sebagai mereka yang menghidapi ‘gender identity disoder’ dan yang lebih ekstrem adalah ‘transvestite fetishism’. Golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi dan berterusan untuk menjadi seorang yang bertentangan dengan jantina sebenarnya dan menganggap dirinya mempunyai jantina yang bertentangan. Golongan seumpama ini merujuk kepada golongan mak nyah, pondan, tomboi dan sebagainya. Mereka adalah dianggap mempunyai masalah berkaitan kesihatan mental. Pemeriksaan dan penyiasatan lanjut seperti ujian darah , ‘scan’ dan sebagainya tidak menunjukkan individu ini mempunyai masalah kesihatan lain. Di dalam Islam, golongan ini dikenali sebagai mukhannith. Menurut statistik pada tahun 1998, seramai 10,000 orang termasuk dalam golongan ini di Malaysia dan 70 peratus – 80 peratus adalah berbangsa Melayu.

Berkaitan dengan golongan di atas, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam Malaysia kali ke 25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah mengambil maklum laporan urus setia bahawa Malis Raja-raja dalam mesyuaratnya kali ke 126 pada 24 Februari 1983 dan telah mempersetujui fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia seperti berikut:

“Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak. Seseorang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. Seseorang yang dilahirkan perempuan hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.”

Perlu ditegaskan bahawa golongan ini berbeza dengan golongan khuntha di dalam Islam. Islam mengiktiraf kewujudan golongan yang dipanggil sebagai khuntha (hermaephrodites) iaitu orang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau lubang khusus yang terdapat pada tempat kemaluan seperti membuang air kecil.

Golongan ini dibahagikan oleh ulamak fiqh kepada dua jenis iaitu khuntha wadhih dan khuntha musykil. Kategori khuntha wadhih ialah khuntha yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat mana satu keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan alat yang mana lebih dominan berbanding dengan satu lagi yang kurang berfungsi.

Khuntha musykil pula adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat berkenaan dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti datang haid) atau kelelakian seperti tumbuh janggut dan misai.

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khuntha musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut. Kelonggaran adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim dengan lebih sempurna.

Ulamak pada umumnya berpandangan bahawa membuat pembedahan jantina bagi khuntha musykil adalah dibenarkan. Adapun pembedahan untuk menukar jantina daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya adalah jelas haram hukumnya.

Ketua Lujnah Fatwa al Azhar, Syeikh Atiyyah Saqr menyatakan bahawa ‘… bagi seseorang lelaki ada beberapa organ yang dianggap paling penting iaitu zakar, testis dan yang berkaitan dengan kelelakian seperti saluran mani dan prostate serta menunjukkan kelelakian apabila baligh begitu juga dengan perempuan. Beliau membenarkan penukaran jantina bagi khuntha sebaliknya mengharamkan pertukaran jantina bagi mereka yang dilahirkan asalnya sebagai lelaki atau wanita tulen. Ini dinyatakan di dalam Majma’ al Fiqh al Islamiy, Rabitah al Alamiy- Fatwa 26 Februari 1989.

Jelas dari perbincangan di atas, pergerakan LGBT tidak termasuk di dalam perbahasan ulamak kerana ia sangat jelas bertentangan dengan syarak. Masyarakat perlu faham untuk membezakan antara perbezaan perjuangan LGBT yang jelas ditolak dengan keadilan Islam dalam menyelesaikan masalah khuntha musykil yang berlaku di dalam masyarakat.

Islam yang mengamalkan prinsip keadilan, memperuntukkan hak yang sewajarnya kepada golongan khuntha sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan pendidikan. Bagaimanapun, untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna, penentuan jantina sama ada lelaki atau perempuan amat penting. Firman Allah S.W.T:

Advertisement


“Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”



SS DATO’ HJ ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi MUIS – HARAKAHDAILY 5/2/2020