Muslim Mart catat untung memberangsangkan

BUKIT GANTANG: Hasil daya usaha dan pandangan jauh Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Pauh, sebuah kedai mini yang menjual pelbagai keperluan harian diwujudkan dan kini telah memasuki tahun kelima operasinya.

Advertisement

Muslim Mart di Markaz PAS Kampung Pauh, dekat sini telah dirasmikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pada 14 Julai 2015, berjaya mencatat keuntungan setiap bulan khususnya pada musim-musim perayaan.

Menurut Ketua PAS Kampung Pauh, Ustaz Mohd Saiful Sulaiman, markaz ini dimakmurkan sebelah malam dengan solat berjemaah dan kuliah agama di mana Muslim Mart juga beroperasi dan para jemaah dapat membeli keperluan harian mereka.

“Alhamdulillah, hasil keuntungan Muslim Mart dimaanfaatkan kembali kepada ahli-ahli PAS dengan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Selain menjana pendapatan melalui Muslim Mart, PAS Cawangan ini turut meneruskan ‘Program Tabung Hijau’ yang merupakan aktiviti menabung secara sukarela kepada ahli-ahli PAS untuk Cawangan.

“Program menabung serendah 10 sen sehari ini diperkenalkan oleh PAS Kawasan Bukit Gantang pada tahun 1990 untuk mengumpulkan dana parti pada waktu itu.

“PAS Cawangan mengambil ketetapan untuk meneruskan program itu kerana ia banyak membantu memantapkan kewangan Cawangan,” ujarnya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung PAS Kampung Pauh Ke-52 baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 5/2/2020