PPSMI: Sekali lagi pendidikan jadi bahan kajian

KEGAGALAN PPSMI pada tahun 2012 sewajarnya dijadikan iktibar oleh Perdana Menteri sebagai pemangku Menteri Pendidikan. Saya kira jika PPSMI ini diteruskan jelas beliau sekali lagi menjadikan masa depan pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai bahan kajian.

Hal ini kerana, pelaksanaan yang sebelum ini terbukti gagal berdasarkan pentaksiran antarabangsa ‘Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)’ dan ‘Programme for International Students’ Assessment (PISA)’ yang menjunam secara konsisten bermula kitaran 2003 (TIMSS) dan 2012 (PISA), iaitu ketika generasi PPSMI yang mendudukinya.

Selain itu, pelaksanaan ini juga akan memangsakan murid-murid luar bandar khususnya. Mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah memahami konsep Sains dan Matematik, malah turut dibebani dengan pembelajaran subjek tersebut dalam Bahasa Inggeris jika ia diteruskan.

Pendirian Kerajaan berkenaan dengan meneruskan PPSMI hanya menambah polemik panjang yang tidak berkesudahan terhadap sistem pendidikan negara yang ketika ini berdepan konflik Jawi dan UEC yang wajar diselesaikan dengan kadar segera.

Persoalannya, apakah kita perlu mengulangi semula perbahasan panjang mengenai ketidakperluan menggunakan bahasa asing bagi menguasai Sains dan Matematik semata-mata untuk memastikan para pelajar menguasai bahasa asing berkenaan? Sedangkan keperluan mengenainya telah dibincangkan secara mendalam sehingga mendorong Kerajaan menarik balik dasar ini beberapa tahun lalu.

Justeru, Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan semula rancangan untuk meneruskan pelaksanaan PPSMI 2.0 dan tidak seharusnya menjadikan bidang pendidikan sebagai bahan kajian yang tidak berkesudahan yang akhirnya memangsakan para pelajar.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 5/2/2020

Advertisement