Perpecahan Bangsa dan Penyelesaian, KL (1988)

BUKU Perpecahan Bangsa dan Penyelesaian adalah karya gabungan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan al-Marhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (m. 2002), bekas Presiden PAS. Buku ini mengandungi dua bab iaitu pada bab pertama yang dihasilkan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor bertajuk “Masalah Perpecahan Bangsa dan Penyelesaiannya,” manakala bab kedua yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk “Perpaduan Menurut Perspektif Islam.” Buku ini ditulis pada 1988, iaitu ketika suasana politik orang Melayu mengalami perpecahan ekoran daripada pergolakan dalaman Umno sejak 1987 yang melibatkan Team A (Dr Mahathir) dan Team B (Tengku Razaliegh). Ia berkesudahan dengan pengharaman Umno pada 1988, diikuti oleh penubuhan parti Semangat 46 (S46) sebagai serpihan Umno. PAS pula mengambil langkah menyatukan politik Melayu Islam melalui kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai oleh Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa), S46, Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Makalah Ustaz Fadzil Mohd Noor yang lebih memberi tumpuan kepada pergolakan dan persaingan politik Umno-PAS kerana tujuan perjuangan yang berbeza, dan merumuskan bahawa perpecahan ini boleh ditamatkan jika Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangannya. Makalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula melihat realiti politik Malaysia dalam meletakkan Islam sebagai asas perpaduan rakyat. Beliau menjelaskan bahawa Islam adalah agama persaudaraan, sedangkan realiti politik Malaysia dipengaruhi oleh kesan penjajahan British yang mengadakan Sekularisasi. Kemudian, orang Melayu Islam berpecah kerana pelbagai ideologi politik yang tidak berteraskan Islam dan juga fenomena berbilang-bilang jamaah Islam. Untuk merungkai masalah ini, langkah menyatukan kumpulan-kumpulan Islam di bawah satu payung perlu dibuat dalam mengukuhkan ukhuwah Islamiyah.

Maklumat buku:

Nama buku: Perpecahan Bangsa dan Penyelesaian
Penerbit: Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama GG Edar, Kuala Lumpur
Penulis bersama: Fadzil Mohd Noor (m. 2002)
Tahun terbit: 1988
ISBN: Tiada
Kulit: Lembut
Muka surat: 38 ms
Saiz: 19 cm x 14 cm
Status: Langka (nadir)
Sumber untuk rujukan: Maktabah al-Balaghul Mubin

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
12 Jamadil Akhir 1441
6 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 6/2/2020

Advertisement