‘Deal of the Century’ adalah isu kemanusiaan – Khalil

KUALA LUMPUR: Kontroversi berhubung ‘Pelan Damai’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Nantanyahu, merupakan satu isu kemanusian yang wajar ditolak oleh seluruh manusia.

Advertisement

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pelan Damai yang direncanakan Trump bersama rakan sekutunya Nentanyahu jelas menindas serta menzalimi rakyat Palestin.

Katanya, konflik yang berlaku di antara Palestin dan Israel bukan hanyalah satu isu melibatkan orang Islam, bahkan ia merupakan isu kemanusiaan.

Tindakan Trump memberi gambaran seolah-olah Amerika Syarikat merestui perbuatan Israel merampas bumi Palestin yang sememangnya satu tindakan wajib dikecam.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Demontrasi Aman membantah Pencabulan Tanah Palestin, berhadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini, usai solat Jumaat.

Demontrasi itu disertai oleh kira-kira 1,000 umat Islam dengan kehadiran lebih kurang 20 NGO termasuk Muslim Care Malaysia, PAS Relief, Gamis, Geng Ustaz, Media Core, Yayasan Amal dan lain-lain lagi.

Turut hadir memberi ucapan dalam demontrasi aman itu ialah, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin serta Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Juga Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan dan wakil Palestin, Abu Ayesh An-Najjar dan pimpinan-pimpinan NGO yang terlibat.

Muhammad Khalil dalam ucapan beliau sebelum itu, menyatakan sebab-sebab mengapa ‘Deal of The Century‘ yang dipersetujui Trump dan rakan sekutunya perlu dibantah.

Antaranya adalah kerana perjanjian itu akan memberi pengiktirafan Israel yang sebelum ini tidak mempunyai tanah, merampas bumi Palestin dan menjadikan haknya.

Jelasnya, Pelan Damai itu menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram, Israel dan akan menyebabkan bumi Palestin hilang buat selama-lamanya.

Kemudian, perjanjian itu juga jelas menafikan hak rakyat-rakyat Palestin selain Israel akan terus merampas negara-negara Islam disekitarnya.

“Kita perlu memhami bahawa kita menentang orang-orang Yahudi bukan kerana nama mereka adalah Yahudi, kita menentang mereka kerana perangai mereka yang jahat, kerana mereka zalim, kerana mereka menindas umat Islam di Palestin.

“Kerana mereka mempergunakan kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat untuk kepentingan mereka, kerana mereka melakukan pelbagai lagi penindasan untuk merampas hak umat Islam di Palestin.

“Dan oleh kerana itulah kita menentang mereka, bukan kerana nama mereka dalah orang-orang yahudi, tidak sama sekali,” ujarnya.

Selasa lalu, Pemuda PAS telah menghantar satu memorandum menolak Pelan Damai kepada kedutaan Amerika Syarikat, dan pihak kedutaan memberi reaksi positif untuk memastikan memorandum tersebut sampai kepada pihak berkaitan. – HARAKAHDAILY 7/2/2020