Pakatan Nasional perlu, tapi PAS tidak gopoh

KUALA LUMPUR: PH pada hari ini merupakan kerajaan yang canggung, celaru, sangat rapuh dan tidak konsisten hingga masing-masing parti mempunyai manifesto dan janji sendiri.

Advertisement

Malah, Kerajaan PH juga mengulangi kelemahan-kelemahan kerajaan dahulu dan seperti ‘tikus membaiki labu’, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bahkan dari segi hakikat katanya, kuasa politik Melayu-Islam terancam kerana PH didominasi oleh bukan-Islam, sedangkan 69 peratus penduduk negara ini adalah terdiri daripada orang Islam.

“Tiba-tiba mereka (bukan-Islam) menguasai lebih daripada majoriti dalam kerajaan. Itu yang berlaku. Walaupun Perdana Menteri berusaha untuk dapat sokongan, (tetapi) sokongan yang tidak begitu kuat, tidak begitu kukuh. (Sedangkan selaku) Perdana Menteri memerlukan satu dukungan yang kukuh.

“Walaupun beliau ada agenda sendiri, tapi banyak halangan-halangan yang berlaku. Ini mengorbankan rakyat, mengorbankan negara. Bukan sahaja rakyat susah, kos sara hidup tak boleh diselesaikan, banyak hal tak selesai, pelabur-pelabur pun tak galak datang. Itu yang berlaku. Maka memerlukan satu perubahan.

“Perubahan itu mestilah secara demokratik, demokratiklah. Demokrasi ini banyak caranya (antaranya) ialah cara undi tak percaya, macam saya sebut itu. Itu satu daripadanya. Cara untuk mendapat Ahli Parlimen yang majoriti, membuat satu perubahan, itu proses biasa dalam demokrasi.

“Cuma kita tak boleh gopoh dalam membuat perubahan, perlu dikaji, dilihat, dan dipandang dengan cara yang lebih teliti,” ujarnya pada sidang media selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Beliau menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat keputusan sebagaimana ura-ura mengenai Pakatan Nasional dan perlu diteliti, apatah lagi Muafakat Nasional sudah dibuat untuk tujuan berkaitan.

Pun begitu beliau mengakui Pakatan Nasional satu keperluan tetapi bukan kerana namanya, sebaliknya peningkatan sedang dibuat dari semasa ke semasa adalah kepada konsep muafakat itu.

PAS juga katanya, selain mengadakan Muafakat Nasional, juga menerima Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan pihak universiti walaupun ia ‘menghentam’ orang Melayu, tetapi lebih kepada menyedarkan.

“Tapi malangnya orang Melayu ini tak boleh dihentam. Dia nak suruh orang puji dia. Itu satu sikap yang silap. Nak suruh orang puji sepanjang masa, tenggelam dalam puji. Kongres Melayu itu, dia hentam Melayu kerana kelemahan-kelemahan politik, kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan mereka, dihentam.

“Jadi, dengan sebab itu PAS mengambil jalan tengah untuk mendekatkan antara Muafakat Nasional dengan Maruah Melayu yang dianjurkan itu. Dalam masa yang sama, kita menarik kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem. Dengan sebab itulah PAS menyokong MCA bertanding di Tanjung Piai sebagai satu contoh. MCA bertanding Tanjung Piai kerana kita mahu memilih bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Dan kita anggap DAP khususnya sangat ekstrem,” ujarnya turut mengulas bahawa perkara penting ketika ini adalah persamaan konsep di mana Umno turut telah bersedia mengubahnya dengan meletakkan Islam mendahului.

Malah pada pandangannya, kerajaan juga ada sikap fleksibel dan tidak jumud, selain masyarakat bukan-Islam telah menunjukkan reaksi positif yang menuntut PAS tidak gopoh dalam memastikan Melayu-Islam tetap berada di tampuk pemerintahan. – HARAKAHDAILY 7/2/2020