Perkukuh kerjasama negara-negara umat Islam

SAYA berpendapat lawatan kerja Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, HE Imran Khan ke Malaysia baru-baru ini adalah langkah untuk terus memperkukuh kerjasama negara-negara umat Islam khususnya di Asia. Saya terus mengikuti perkembangan hubungan bilateral antara kedua-dua negara ini terutama selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan di New York bulan September lalu.

Advertisement

Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam, Saya optimis kerjasama Malaysia, Pakistan dan juga Turki untuk membentuk rangkaian strategik bagi menjelaskan kekeliruan dan prejudis terhadap Islam dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Saluran media berbahasa Inggeris untuk menerangkan sisi-sisi sebenar mengenai Islam mesti dilaksanakan untuk mendepani dakyah jahat musuh antarabangsa terhadap Islam.

Saya juga berharap satu tindakan susulan perlu dilakukan selepas berakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 terutama untuk membantu negara-negara umat Islam yang sedang bergelut dengan kemiskinan dan kemunduran. Dana pelaburan khas perlu diwujudkan dan jaringan perdagangan juga mesti dikukuhkan supaya negara umat Islam tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak lain yang terdedah kepada risiko sekatan ekonomi bagi mengikut telunjuk mereka.

Berkenaan dengan pelan damai ‘Deal of the Century’ yang diumumkan oleh Amerika pada minggu lalu, saya berharap Malaysia dapat berpendirian tegas membantah usul berkenaan yang jelas mengkhianat hak umat Islam Palestin. Selain itu, Malaysia mesti terus berusaha membuka sebuah kedutaan Palestin di Jordan bagi memudahkan penyaluran bantuan ke negara tersebut sepertimana komitmen YAB Perdana Menteri yang telah ditegaskan dalam Sidang Kemucak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku Congress Centre pada bulan Oktober 2019.     

Sekian, terima kasih.

WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Malaysia (Dungun)
13 Jamadil Akhir 1441 | 7 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 7/2/2020