Profesor politik versi ‘The Emperor’s New Clothes’

SAYA teringat satu kisah ketika zaman kanak-kanak, judulnya ‘The Emperor’s New Clothes’. Ia berkisar tentang seorang raja yang ingin menjahit baju baru tetapi ditipu oleh dua orang penyangak. Mereka berpura-pura menyatakan baju sang raja telah siap dan berpura-pura memakaikan ke badan sang raja.

Advertisement

Realitinya, semua mata pembesar dan rakyat menyaksikan sang raja tidak berbaju, tetapi semuanya memuji ‘baju baru’ sang raja untuk tujuan membodek dan mungkin juga takut terancam periuk nasi. Bahkan sang raja sendiri percaya bahawa dirinya sedang memakai ‘baju baru’ ekoran pujian orang ramai. Hinggalah seorang budak dengan berani menyatakan, “but the Emperor has nothing at all on!” dan diakui akhirnya oleh semua orang.

Hari ini semua pihak sudah dapat menjangka bahawa Pakatan Harapan (PH) semakin kehilangan arah, namun seorang profesor politik nampaknya masih degil untuk mencari makan dengan sesuap fakta palsu. Terbaru, dia memperkecil dan menghina PAS yang sebelum ini pun sudah sering kali dipanaskannya.

Menerusi Sinar Harian hari ini 8 Februari 2020, PAS dilabelnya sebagai parti yang akan menyokong sebarang usaha termasuk pembentukan Pakatan Nasional hanya untuk memastikan PH berpecah. Bahkan sebelum ini, profesor ini dalam siaran Berita Harian pada 29 Jun 2019, mendakwa PAS parti berfahaman Nasionalis dan memanipulasi Islam demi kepentingan politik semata-mata.

Saya sebenarnya sudah lama mengkaji analisa (jikapun layak dinamakan analisa) profesor ini, sekiranya diimbas bentangannya terutama pada PRU14, nyata jauh meleset. Antaranya penuh yakin bahawa BN akan menang. Bahkan secara spesifik dinyatakan di Melaka, Johor dan Kedah. Bahkan, dinyatakan kajian terperincinya di Kedah menghasilkan keputusan bahawa BN 16 kerusi, PH 12 kerusi dan PAS 8 kerusi.

Penganalisis politik yang saya rasa hanya mencari makan ini tidak berhenti meramal secara tersasar dan kecundang. Beliau turut melakukan ‘analisis’ kepada PRK Semenyih dan PRK Tanjung Piai.

Beliau yang bernama Mohd Azizuddin Mohd Sani (Prof Dr) berkata, BN tidak akan menang di Semenyih kerana PH menguasai Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat. Manakala di Tanjung Piai beliau memberi ‘kejutan’ dengan menyatakan calon GERAKAN boleh membuat kejutan dan menang.

Pensyarah dari Pusat Kajian Antarabangsa UUM ini juga pernah mengulas mengenai kerjasama PAS dan Umno tidak akan menggugat PH yang kini menerajui kuasa pemerintahan. Malah, PH juga yang boleh menyatukan orang Melayu.

Saya menghormati hak UUM boleh memberi anugerah Profesor kepada beliau, namun dalam masa yang sama saya harapkan supaya gelaran ini dihormati dan tidak digelak ketawakan kerana ‘analisis’ yang jauh tersasar. Jika sekali dua tersasar boleh jadi ia diterima tetapi jika setiap kali membuka mulut hanya untuk mengampu bodek pihak tertentu, ia bukan kerja seorang profesor.

Sangat-sangat persis dengan cerita sang raja yang tidak berpakaian apa-apa tetapi percaya bahawa dirinya sedang berpakaian kerana puji-pujian dari para pembesar.

Saya simpati kerana tiada siapa yang mahu percaya ‘analisis’ beliau tentang PAS yang tidak pernah beliau lakukan kajian sewajarnya mengenai parti ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/2/2020

Rujukan:
(1) https://www.sinarharian.com.my/article/69199/BERITA/Politik/Pas-mahu-PH-berpecah
(2) https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/06/579275/pas-manipulasi-agama-untuk-kepentingan-politik-penganalisis
(3) https://www.bharian.com.my/node/271998
(4) http://www.sinarharian.com.my/politik/pakatan-harapan-masih-cari-kekuatan-1.709361
(5) http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/02/03/academic-lack-of-islamisation-policy-can-hurt-ph/
(6) https://www.utusan.com.my/berita/politik/tiada-berlaku-tsunami-melayu-1.666367
(7) http://www.sinarharian.com.my/politik/bn-dijangka-kekal-di-melaka-1.783179
(8) https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian5831/20180313/281586651115917
(9) https://www.malaymail.com/s/1587437/will-kedah-remain-a-bn-stronghold-mohd-azizuddin-mohd-sani
(10) https://www.malaysiakini.com/news/422679
(11) https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/418963/prk-semenyih-pas-bn-kuat-tapi-ph-menang
(12) https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/11/01/no-hope-but-tanjung-piai-outing-chance-for-gerakan-to-test-the-waters-analy/1805729
(13) https://malaysiadateline.com/kerjasama-umno-pas-tidak-gugat-ph-kata-ahli-akademik/
(14) https://msentral.net/pencapaian-setahun-kerajaan-ph-adalah-positif-berjaya-capai-apa-yang-direncana-termasuk-janji-dalam-manifesto-prof-uum/