Tarbiyah jadikan diri benteng perjuangan

BUKIT GANTANG: PAS Negeri Perak menyambut baik saranan Tuan Guru Presiden bahawa PAS tidak gopoh dan tidak akan ikut ‘pintu belakang’, serta ahli diingatkan agar terus wala’ dan thiqah dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Advertisement

“Keputusan dan tindakan parti menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 demi kepentingan Islam dengan mempertimbang mudarat yang lebih kecil ketika ini.

“Apabila kita sudah faham tanggungjawab sebagai ahli jemaah, pegang sungguh-sungguh, yakin dan percaya kepada keputusan yang dibuat pimpinan sentiasa meletakkan Islam yang utama.

“Ahli mesti menjadi benteng kepada pimpinan berasaskan ‘Islam Memimpin Perpaduan’ dengan mengikuti sistem tarbiyah yang betul,” ujar Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di hadapan pimpinan PAS Kawasan seluruh negeri Perak.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Liqa’ Fikri dan Simposium Nuqaba’ PAS Perak di Markaz Tarbiyah PAS Perak, Kampung Air Kuning, Taiping, di sini malam tadi.

ADUN Gunong Semanggol itu turut menyempurnakan pelancaran kutipan Dana Baik Pulih Markas Tarbiyah PAS Perak yang diperlukan dengan anggaran kos pembaikan struktur bumbung dan kemudahan asas sebanyak RM 125,000.

Naqib jemputan, Ustaz  Zainuddin Abu Bakar yang berpengalaman luas dalam silibus tarbiyah berkata, tujuan usrah adalah menyelesaikan isu semasa termasuk masalah peribadi khususnya berkaitan fikrah Islam yang akhirnya ahli mampu mempertahan jemaah dan pimpinan.

“Manhaj tarbiyah PAS telah disusun dengan menjadikan empat bahan asas sebagai panduan usrah iaitu Al-Quran, Hadis, Fikrah Islam dan Sirah Nabawiyah menggunakan buku teks silibus yang lengkap.

“Kita ini kadang-kadang berkira-kira untuk beli buku kononnya tidak tahu bila nak baca tetapi mudah pula bila masuk pasaraya beli barang penuh troli walaupun tidak tahu bila nak masak,” ujarnya yang juga selaku Pengarah Majlis Nuqaba’ PAS Pusat.

Menurutnya lagi pelaksanaan usrah mestilah mengikut turutan yang diselaraskan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS dengan dimulai Taarif 1, Taarif 2 kemudian Takwin 1, Takwin 2 dan Tanfiz 1, Tanfiz 2 agar kesatuan pemikiran dapat disatukan mengikut tahap.

Pimpinan PAS Perak yang turut hadir Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Setiausaha, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin serta Ketua Penerangan, Ustaz Hafez Sabri dan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait. – HARAKAHDAILY 8/2/2020