PAS ladang ibadah bagi yang gigih beramal

BATU PAHAT: Keberadaan seseorang dalam PAS memberi peluang kepadanya untuk lebih dekat kepada Allah, sekali gus menyuburkan lagi ladang ibadah diri sendiri, demikian dinyatakan Ketua Muslimat PAS Negeri Johor, Fatimah Ismail.

Advertisement

Ini menurutnya, kerana setiap gerak kerja di dalam PAS adalah amal ibadah untuk mengangkat perintah suruhan Allah S.W.T yakni meninggikan agama-Nya, Islam dengan mengikut segala panduan telah dipedomankan menerusi al-Quran dan al-Hadis.

Beliau membangkitkan motivasi ruhiyah para jentera Muslimat PAS yang hadir pada Majlis Pelancaran Jejak Jentera 12K Peringkat Negeri Johor di Kampung Sungai Tongkang, Rengit, di sini semalam.

Jejak J12K adalah satu usaha Muslimat PAS Malaysia dalam melahirkan pejuang yang AKIFI iaitu alim, haraki dan sufi sebagaimana seruan Presiden PAS untuk menyediakan 12,000 Ansarullah seperti Hadis pernah diungkap Rasulullah mengenainya.

Menurut ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Malaysia, Nor Yazidah Yahya, Jejak J12K amat menekankan ibadah para Naqibat dan ahli di bawahnya dengan mencatat amalan harian secara teratur dan didokumentasikan.

Antara amalan yang paling dititikberatkan tersebut adalah solat sunat sebanyak 40 rakaat di samping menekankan solat berjemaah dan solat di awal waktu.

Memberi perhatian serius dalam urusan solat setiap ahli, Ustazah Nor Yazidah berkata, catatan buku amalan harian yang dibekalkan juga adalah sebagai manifestasi catatan buku amalan bakal diterima setiap individu di hadapan Rabbul Jalil di akhirat kelak.

Terangnya lagi, hasrat untuk melahirkan Jentera 12K yang berkualiti ini bermula sejak Disember 2019 lagi dan kini telah pun berada di fasa ketiga di mana dengan taklifan ini bermakna pada akhir Mei 2020 nanti akan dianalisis buku rekod amalan tersebut.

Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nafisah Twahir dan Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat Johor, Zhuliana Ambok Dalek. – HARAKAHDAILY 9/2/2020