Usul Undi Percaya: PAS bincang dengan Umno esok

KUALA LUMPUR: Cadangan PAS untuk membawa usul Undi Percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Dewan Rakyat akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usul tersebut merupakan cadangan daripada PAS berikutan melihat ketidakstabilan politik negara sekarang.

“Disebabkan suasana yang tidak stabil untuk menukar Perdana Menteri seolah tiada isu lain, rakyat sudah bosan dengan situasi yang ada. Kalau sekiranya PH (Pakatan Harapan) betul-betul (hendak tukar Perdana Menteri) bawalah usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen.

“Oleh kerana mereka tidak bawa, kita bawa usul ini untuk melihat sejauh mana Perdana Menteri mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen. Ia bukan mewakili parti tetapi mewakili Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih, Bandar Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Menurutnya, Tun Mahathir pernah menyatakan bahawa yang menentukan sama ada beliau terus atau tidak menerajui pentadbiran selaku Perdana Menteri adalah Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ketika ditanya oleh pemberita berhubung perkara tersebut pernah dibincangkan dengan Umno atau tidak, beliau berkata bahawa belum dibincangkan lagi kerana ia idea daripada PAS.

Namun jelas Ahli Parlimen Kubang Krian itu, perkara tersebut pernah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS dalam satu kenyataan sebelum ini.

Terangnya lagi, usul tersebut adalah usul persendirian di mana sesiapapun dalam kalangan Ahli Parlimen boleh membawa usul dengan mengikut segala syarat yang ditetapkan.

“Usul persendirian boleh dibawa oleh mana-mana Ahli Parlimen dengan syarat kita bawa usul dan ikut kepada Speaker terima atau tidak cuma perlu ikut 3 syarat,” ujarnya.

Usul tersebut akan dibawa bincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8 malam esok. – HARAKAHDAILY 9/2/2020