3 tahun Food Flotilla: Meruak benteng tirani Myanmar

PANTAS masa berlari meninggalkan kita, memecut laju ke garisan penamat kehidupan dan berbahagialah insan yang memanfaatkan masa kehidupan dengan baik. Pagi yang indah ini, saya teringatkan pengalaman tiga tahun lepas menaiki kapal misi bantuan kemanusiaan dengan peserta daripada 12 buah negara. Misi memicu isu kemanusiaan Muslim Rohingya yang mengalami pembantaian dan perlecehan daripada rejim Mynmar, bahkan dalam tiga bulan terakhir ini juga 24 000 muslim Rohingya telah mati dibunuh.

Muslim Rohingya mengongsi ke pelbagai negara untuk mencari sesuap nasi dan menyelamatkan maruah diri, paling ramai ialah di Cox Bazaar, Bangladesh sehingga mencecah lebih dua juta pelarian. Jika diimbau kembali isu ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang antara sosok utama dunia Islam yang sentiasa mengingatkan umat akan peta luka Arakan. Peristiwa himpunan selamatkan Muslim Rohingya di Stadium Titiwangsa pada 4 Disember 2016 antara detik awal kolaborasi peduli ummah antara kerajaan Malaysia dan jaringan sivil di negara ini.

Misi bantuan ini bergerak pada 2 Februari 2017, kami berkumpul di Westport Kelang dan mudik ke Yanggon dengan kapal Nautica Aliya yang sarat dengan barangan bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia. Saya sebilik dengan Ustaz Rashdan, anak muda yang baru tamat pengajian di Jordan serta YB Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi Awang. Pemimpin anak muda itu memperuntukkan masa menulis tesis kedoktoran dan saya mengarang buku di atas kapal dengan pelbagai aktiviti diadakan.

Rombongan misi bantuan kemanusiaan Flotilla disambut dengan demonstrasi bantahan dan wajah cemberut oleh sekelompok demonstran Myanmar berkain sarung. Media massa di negara berdarah ini lebih sebulan memainkan pelbagai isu berkaitan dengan misi bantuan yang dianggap menceroboh masalah dalaman negara mereka.

‘Food Flotilla for Myanmar’ memicu perhatian antarabangsa apabila lebih 60 media antarabangsa berhimpun di pelabuhan, pelaporan mereka positif atau negatif tetap memberikan impak yang positif kepada umat Islam yang tertindas. Misi untuk mengejutkan masyarakat antarabangsa bahawa ada negara pariah yang sedang menindas rakyatnya dengan alasan agama dan etnik.

Penampilan bahasa badan dan guratan wajah pegawai-pegawai Myanmar jelas tidak bersahabat dengan anggota misi Flotilla. Ada yang mengacungkan tangan ke arah peserta-peserta misi yang melaungkan takbir. Wajah sombong itu memandang dengan penuh kebencian terhadap kapal yang menjadi lambang kemenangan usaha rakyat pelbagai negara untuk membantu saudara mereka Muslim Rohingya.

Peserta-peserta bahu membahu membantu mengangkat barang untuk diserahkan pada pihak berkuasa Myanmar dan mereka memberikan persetujuan untuk acara agihan barangan di Sitwea dipantau oleh wakil Malaysia. Perjalanan ke Chitaggong Bangladesh tertangguh hampir sehari kerana keadaan sungai Yanggon yang surut.

Rombongan Flotilla telah mengadakan solat Jumaat di atas kapal dan menurut Kapten Firdaus itulah solat kali Jumaat kali pertama diadakan di atas Nautica Aliya. Khutbah Jumaat dengan tajuk kewafatan Rasulullah S.A.W mengimbau kembali peristiwa penting sebelum kewafatan iaitu himpunan paling ramai dalam sejarah dakwah Nabi iaitu haji Widak, seterusnya peristiwa selepas kembalinya daripada Haji Widak sehingga kewafatan Baginda. Jemaah solat Jumaat diingatkan bahawa tanggungjawab membantu umat Islam ialah sebahagian arahan ar-Rasul S.A.W, qudwah yang dicintai dan menjadi keteladanan di sepanjang jalan dakwah.

Perjalanan ke Chittagong melalui jalan laut mengambil masa lebih tiga hari dan Flotilla telah dihentikan oleh pihak keselamatan Bangladesh untuk diadakan perbincangan di tengah laut. Persetujuan dicapai untuk misi bantuan meneruskan bantuan ke Chittagong walaupun pada asalnya ada cadangan supaya misi Flotilla terus ke Cox Bazaar melalui pelabuhan kecil dan pihak marin Bangladeh memberikan iringan keselamatan.

Tiba di Chittagong, rombongan flotilla menghadapi muara sungai yang cetek, kelihatan kapal-kapal besar di atas beting pasir. Untuk memasuki ruang pelabuhan Chittagong seorang kapten tempatan menakhodai kapal Nautica Aliya yang dibina dengan kos 100 juta itu. Perbincangan terakhir akhirnya berlangsung di atas kapal di antara wakil Flotilla dengan pihak berkuasa Bangladesh. Pada asalnya mereka hanya mahu barang bantuan diturunkan dan relawan tidak dibenarkan ke kem pelarian, namun setelah asakan wakil Flotilla maka merela bersetuju hanya 25 wakil turun untuk ke kem pelarian Cox Bazaar dan barangan diserahkan kepada IOM (International organization of migrant) dengan persetujuan pengagihan berikutnya dipantau daripada dekat oleh wakil-wakil Malaysia.

Ada relawan yang bersedih kerana tidak dapat mengagihkan sendiri barangan bantuan ke kem pelarian, namun pihak Bangladesh memberikan alasan-alasan keselamatan dalam kem yang juga berlaku infiltrasi daripada pihak agen Myanmar. Ustaz Tarmizi daripada MAPPIM menerangkan bahawa IOM mempunyai jadual pengagihan mingguan, maka NGO Malaysia mempunyai peluang untuk turun bersama mereka. Setiap barangan dihitung dan diaudit oleh IOM tentang tarikh lupus, produk halal dan sebagainya, mereka mempunyai reputasi yang baik dalam membantu pelarian-pelarian di seluruh dunia.

Misi Flotilla mencapai sasaran yang pertama iaitu menghebahkan pada dunia tentang sebuah sketsa kezaliman bumi Arakan yang digelar ‘Gaza Asia’, media massa dalam dan luar negara melaporkan perkembangan misi pertama membantu muslim Rohingya dalam skala besar. Mesej yang jelas, semua negara umat Islam wajib bangkit membantu bukan menjadi pemerhati bisu.

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis ialah Aktivis bantuan tanpa sempadan, Penulis dan Pendakwah) – HARAKAHDAILY 10/2/2020

Advertisement