Memahami sikap dan pendirian PAS

PAS mengajak rakyat keluar dari kemelut ketidaktentuan politik dalam negara yang menjejaskan kehidupan semua serta mampu mencetuskan ketegangan.

Puncanya adalah tuntutan peralihan kuasa PM separuh penggal yang tidak langsung membawa sebarang faedah apalagi memulih atau menyelesaikan masalah periuk nasi rakyat dan masa depan negara.

Kelompok Anwar Ibrahim lebih berminat menuntut jawatan PM. Menyingkirkan Tun dan menobatkan Anwar sebagai PM ke 8. Masalah rakyat dan negara nanti kita tangani kemudian, mereka lupa PH telah hampir 2 tahun berkuasa.

Dominasi DAP dalam kerajaan adalah faktor penyumbang terbesar dalam kemelut politik ini. Dengan kuasa DAP kini menuntut perkara-perkara yang bakal merobah dan menjejaskan status sosial dan politik yang sedia ada. Kuasa minoriti dipergunakan sehingga menjejas kehidupan golongan majoriti, ini sudah pasti mencetuskan ketidakpuasan hati dan tidak sihat buat masa depan negara.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan mahu dilaksanakan, sijil UEC diiktiraf, pengajian tulisan Jawi di sekolah-sekolah dihapuskan, amalan budaya songsang LGBT mahu diiktiraf, hak untuk murtad atau menukar Agama diperjuangkan, peranan JAKIM dipertikai, bilangan kakitangan awam mahu dikurangkan, bayaran pencen disemak semula dan senarai ini berterusan.

Selama Tun menjadi PM walaupun beliau seteru politik blok pembangkang namun beliau sanggup berhadapan dan mengekang asakan DAP ini.

Ada sesiapa boleh nafi?

Masalahnya adakah Anwar nanti setegas Tun dalam mempertahankan hak dan kepentingan Melayu Islam atau beliau akan cair dan tunduk pada DAP yang kini kuat melobi dan mendewakannya?

Semua kita kenal Anwar. Akhlak dan keperibadiannya bukan rahsia tetapi pengetahuan umum. Sikapnya yang liberal dan populis bakal menambahkan lagi kelam dalam kemelut yang kita tanggung. Mudharat besar jika beliau naik sebagai PM.

Kerana itu berhadapan dengan dua senario dan kemungkinan ini serta mengambil kira masalah rakyat dan negara PAS sanggup menyokong agar Tun kekal PM hingga ke hujung penggal.

PAS akan kemukakan usul percaya terhadap PM ke 7 dan mengharapkan sangat jika ada wakil-wakil Dewan Rakyat yang tidak bersetuju maka gunakanlah gelanggang Dewan Rakyat bangkit secara bermaruah dan tolak usul ini.

Biar Dewan Rakyat menjadi kuasa penentu dan bukan sebaliknya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 10/2/2020

Advertisement