Rumah tangga dan iman

(وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا وَجَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِكُم بَنِینَ وَحَفَدَةࣰ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّیِّبَـٰتِۚ أَفَبِٱلۡبَـٰطِلِ یُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَتِ ٱللَّهِ هُمۡ یَكۡفُرُونَ)

“DAN Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?”

[An-Nahl: 72]

Advertisement


(i) Nikmat berpasangan itu adalah demi melangsungkan generasi dan keturunan. Bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga namun masih lagi belum beroleh zuriat, pastinya perlu bersabar dan meyakini akan segala kebaikan-kebaikan yang ditentukan oleh Allah buat kita. Tetapi dalam masa yang sama, teruskan berdoa dan meminta tanpa putus-putus kepada Allah. Tidak ada yang mustahil dengan kehendak Allah;

“Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.””

[Maryam: 9]



(ii) Ia menjadi nikmat kerana diperolehi melalui jalan yang baik lagi halal (perkahwinan). Bermaksud yang mendapatkannya dengan cara yang tidak baik lagi dosa (zina) bukan suatu nikmat dan akan ada kesan buruknya untuk jangka panjang. Sebab itulah menjaga keturunan termasuk dalam salah satu Maqasid Syariah yang perlu dipelihara.

(iii) Ulasan Syeikh Sya’rawi terhadap ayat ini. Manusia itu terus kekal hidup untuk dua tujuan:

(a) Meneruskan kehidupan melalui rezeki pemberian Allah, lalu kita dapat makan dan minum supaya terus hidup.

(b) Meneruskan kehidupan untuk mengekalkan kelangsungan generasi.

Pastinya kita sebagai orang Islam memahami tujuan daripada zuriat tidak lain adalah untuk menyambung mata rantai penerus agenda dakwah.

(iv) Dalam berkeluarga akan menghadapi pelbagai masalah dan keragaman. Begitu juga hal ini disebutkan oleh Syeikh Sya’rawi melalui ayat 21 surah Ar-Rum;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

[Ar-Rum: 21]



Terdapat tiga elemen penting dalam rumah tangga iaitu sumber ketenteraman, mestilah wujudnya suasana kemesraan dan bukan ketegangan, dan sifat toleransi dalam mengatur urusan kekeluargaan. Apabila salah seorang dari pasangan culas dalam menjalankan tanggungjawabnya, masing-masing hendaklah mengurusnya dengan ihsan (berlebih kurang).

Sekiranya ketiga-tiga elemen ini sudah tiada, tidak hairanlah rumah tangga akan berantakan yang membawa kepada pergaduhan seterusnya perceraian. Walaupun disebutkan perceraian merupakan perkara yang dibenci Tuhan, namun ia diakui oleh Islam sebagai salah satu jalan untuk menyelesaikan krisis rumah tangga. Kematangan setiap orang, ujian yang hadir setiap insan adalah berbeza-beza, maka pastinya punyai keputusan dan hikmah yang tidak sama. Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Sebab itu jugalah adanya pensyariatan rujuk, bahkan keizinan untuk berkahwin semula jika sudah tamat tempoh iddahnya.

(v) Nikmat pasangan, rezeki yang baik, dan keturunan selayaknya tidak menjerumuskan kita ke jalan kekufuran. Namun, ada di kalangan manusia yang berinteraksi dengan Tuhan berdasarkan kebaikan pada dirinya. Firman Allah:

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.”

[Al-Ĥaj: 11]



Apa jua yang berlaku dalam rumah tangga, sentiasalah meletakkan penyelesaiannya mengikut kehendak agama, kerana Allah yang lebih mengetahui kebaikan buat hamba-hambaNya.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 10/2/2020