Solat hajat elak menular virus Corona

KOTA BHARU: Hampir 1,000 rakyat Kelantan menunaikan solat hajat mengelakkan penularan wabak virus Corona yang kini menyebabkan ramai penduduk di negara China menjadi mangsa.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, solat hajat itu diadakan sempena program solat Munajat Royalti 3.0 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Jumaat lepas.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan turut bimbang dengan penularan wabak tersebut yang kini menjadi perhatian seluruh dunia.

“Bagaimanapun kita yakin Allah lindungi negeri juga negara kita, insyaAllah,” ujarnya ketika ditemui selepas meraikan kakitangan awam kaum Cina, India dan Siam sempena Tahun Baru Cina di JKR 10, di sini semalam.

Seramai 70 penjawat awam, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan para Penghulu diraikan pada majlis itu.

Menurut laporan media, jumlah mangsa virus Corona yang meninggal dunia di China sekarang 774 orang mengatasi epidemik SARS pada 2002 hingga 2003. – HARAKAHDAILY 10/2/2020

Advertisement