Takziah atas pemergian Abam Bocey

JABATAN Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32 atau lebih dikenali sebagai ‘Abam Bocey’ dilaporkan telah kembali kerahmatullah pagi ini.

Advertisement

Berdasarkan perkhabaran diterima daripada ahli keluarganya, Almarhum mengalami demam panas selama dua hari lalu dan tidak lagi memberikan maklumbalas ketika dikejutkan isterinya waktu Subuh pagi ini.

Beliau pergi meninggalkan seorang isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali, 28 yang telah membina mahligai rumahtangga bersamanya pada 8 Disember 2017 dan juga telah dikurniakan seorang anak, Syed Uthman Hamzah Syed Umar Mokhtar, 2 (14 Jun 2019).

Almarhum seorang yang pemalu tetapi sangat murah dengan senyuman serta sentiasa merendah diri dan disenangi semua pihak di jadualkan jenazahnya akan dibawa ke Masjid Gombak Utara untuk disolatkan selepas Solat Asar hari ini.

Sebagai rekod, pihak DACS pernah berurusan secara langsung dengan Almarhum sebelum ini melalui program sambutan ambang tahun baharu anjuran DACS Gombak dan PAS Kawasan Gombak dengan sanggup menolak tawaran lain semata-mata ingin bersama program Islamik.

DACS Malaysia menyifatkan kehadiran Almarhum dan rakan-rakannya khususnya kumpulan Bocey sebagai anak seni Malaysia (pelawak) banyak memberi impak yang baik menjadi ikon dakwah melalui bakat mereka.

Persembahan bermesej dakwah khususnya dalam banyak siri rancangan Maharaja Lawak terutamanya menggambarkan mereka juga berusaha memainkan peranan penting dalam masyarakat dan didoakan agar Allah S.W.T terima sebagai amal kebajikan.

Justeru, DACS Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh anak seni untuk kita menjalin kerjasama memanfaatkan bakat dan ruang yang ada untuk memajukan anak bangsa berteraskan syariat Islam.

Insya-Allah kehidupan sementara kita di dunia ini dapat diisi dengan amalan yang mulia sebagai bekalan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Sekian, terima kasih.

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah DACS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/2/2020