500 tan sehari sampah di Terengganu

MEI 2019 menjadi satu titik bersejarah buat rakyat Terengganu apabila siapnya pembinaan jambatan angkat atau lebih dikenali sebagai ‘drawbridge’ yang menjadi penghubung antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Dek keindahan dan keunikannya, tidak putus-putus pengunjung datang baik dari dalam negeri mahupun dari luar.

Ramadan yang juga jatuh pada bulan yang sama, membuatkan para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk berbuka puasa di sekitar Dataran Shahbandar dan juga Pesisir Payang dengan berlatar belakangkan pemandangan indah ‘drawbridge’.

Namun sayang seribu kali sayang. Keindahan yang tersergam hanya sementara. Kemajuan yang sedang didaki negeri comel molek ini tidak disulami dengan akhlak yang mulia.

Tular di media sosial apabila dipaparkan kawasan lapang yang menjadi tempat tumpuan bertukar menjadi kawasan yang penuh dengan sampah sarap. Bekas minuman, botol dan plastik bertebaran di mana-mana. Sampah sisa makanan juga tidak ketinggalan menghiasi kawasan padang serta tembok di persisiran sungai.

Lebih menyedihkan apabila situasi yang dialami ini bukanlah satu perkara yang baru malah boleh dikatakan ianya normal dalam kalangan masyarakat kita khususnya di pasar malam, pulau peranginan dan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan awam.

Sikap tidak bertanggungjawab ini harus dikikis segera. Mentaliti rakyat kita perlu diubah. Kita tidak mahu negeri kita yang tercinta ini dipandang serong hanya kerana tangan-tangan ini yang terus membuat kerosakan.

Benarlah sabda Allah dalam surah Rum ayat 4 (maksudnya):

Advertisement


“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”


Pada angkanya, penghasilan sampah di Terengganu hanya kira-kira 500 tan sehari, terlalu sedikit jika nak dibandingkan dengan negeri yang maju seperti Selangor yang menghasilkan lebih kurang 7000 tan sehari. Namun jika tidak diuruskan dengan baik dan ditambah pula dengan sikap masyarakat yang bersikap individualistik ini, maka sudah pasti perkara ini akan menjadi duri dalam daging buat negeri ini untuk terus membangun megah.

Justeru, rakyat dan kerajaan perlu bersama-sama menggembleng tenaga untuk mencapai PITAS 2030 melalui prinsip yang kelima iaitu kelestarian Islam, alam sekitar, masyarakat dan ekonomi. Nilai islam hendaklah disemai agar terpateri akhlak yang mulia sekaligus menzahirkan masyarakat yang cakna akan kebersihan.

Biarlah rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi contoh kepada dunia. Ayuh kita ubah! Buktikan pada semua bahawa Terengganu bukan negeri sampah.

Hulurkan tangan membantu, nampak sampah ambil dan buang.

Senyum.

Ingatan Tulus Ikhlas,
YB ZURAIDA MD NOOR,
ADUN Wanita Terengganu.
11 Februari 2020
17 Jamadilakhir 1441 – HARAKAHDAILY 11/2/2020