Amaran keras: Henti politik ‘fearmongering’ dan kebencian

DEWAN Pemuda PAS Malaysia memberikan amaran keras kepada Lim Guan Eng, Menteri Kewangan yang terkenal dengan kenyataan ‘u-turn’, supaya membuat ‘u-turn’ dan berhenti mewujudkan ketakutan atau ‘fearmongering’ serta kebencian kepada masyarakat non-Muslim terhadap PAS dengan fitnah dan persepsi jahat.

Advertisement

Pemuda PAS merujuk kepada kenyataannya semalam bahawa kerajaan yang dipimpin PAS dan Umno adalah berbahaya kepada keharmonian kaum di Malaysia, bakal mengenepikan dan menindas masyarakat bukan Islam, serta menyebabkan Malaysia akan kembali ke ‘Dark-Age’ seperti Kelantan.

Kenyataan ini secara jelas adalah berniat jahat, menyemai ketakutan dan kebencian serta bersifat persepsi tanpa asas yang kukuh. Dan ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian sebegini. Sebelum ini juga kenyataan sama kerap kali dicanangkan pada tahun lepas.

Pemuda PAS menegaskan bahawa kenyataan Lim Guan Eng adalah palsu dan berniat jahat. PAS sentiasa terus menyantuni dan meraikan mereka, serta membina hubungan baik dengan masyarakat non-Muslim. PAS melalui Kerajaan Kelantan dan Terengganu tidak pernah mengabaikan hak masyarakat non-Muslim, memastikan hak mereka dilindungi serta mereka bebas mengamalkan ajaran agama mereka tanpa dipaksa mengikut atau menukar agama.

PAS juga tidak pernah menidakkan secara keseluruhan hak orang bukan-Islam untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet, seperti yang digembar-gemburkan oleh Guan Eng. Ini jelas merupakan suatu fitnah jahat terhadap PAS.

Pemuda PAS memberikan amaran keras kepada Lim Guan Eng serta DAP supaya berhenti menyebarkan ketakutan dan kebencian kepada masyarakat non-Muslim terhadap PAS. Menyemai kebencian tidak akan menyebabkan politik Malaysia menjadi lebih baik, selain menimbulkan prasangka yang boleh merosakkan keharmonian kaum.

Lebih baik Lim Guan Eng fokus mengatasi masalah hutang negara yang semakin meningkat dan membaikpulih ekonomi Malaysia yang semakin merudum kerana ketidakstabilan politik dalam kerajaan sendiri.

Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama menolak budaya politik kebencian dan permusuhan yang disemai oleh Lim Guan Eng dan DAP. Satu-satunya cara untuk mengajar Lim Guan Eng dan DAP bahawa politik kebencian yang menjadi budaya mereka itu salah, adalah dengan menolak DAP dari terus berada dalam arena politik Malaysia.

Selagi Lim Guan Eng dan DAP masih di dalam kerajaan, politik Malaysia akan terus berada di takuk lama, dan kita tidak mampu mencapai perpaduan. PAS akan terus berjuang ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, dan pastinya tanpa DAP yang merosakkan kehidupan dan keharmonian rakyat Malaysia.

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/2/2020