PAS rintis inisiatif bantuan ‘tangan robotik’ OKU

KUALA LUMPUR: Usaha memberdayakan Orang Kelainan Upaya (OKU) gigih dilaksanakan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS dengan pelbagai pendekatan sebagai satu kebertanggungjawaban terhadap golongan itu.

Advertisement

Antara usahasama giat dilaksanakan LKKP Pusat adalah merintis projek Tangan Robotik yang khusus bagi membantu kalangan OKU cacat anggota tangan untuk dihadiahkan bagi tujuan kemudahan urusan kehidupan seharian mereka.

Pelancaran projek ini telah disempurnakan sempena Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussien Onn, Bangi, kelmarin.

Inisiatif ini dibantu dan dijayakan dengan kemahiran pereka tangan cetakan 3D tersebut iaitu seorang bekas guru yang sudi menyumbang kepakarannya, Sujana Mohd Rejab atau mesra dipanggil sebagai Pak Su.

Anugerah kemahiran dimilikinya itu dimanfaatkan menerusi rekaan yang pastinya sangat membantu generasi muda terutama kanak-kanak dan remaja OKU kudung tangan bagi membolehkan mereka menggunakan anggota seperti orang normal.

Penerima pertama projek khas LKK PAS Pusat ialah Faiz Alian Mohd Zamre iaitu lepasan Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa Kelantan yang merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik dan merupakan pelajar cemerlang.

Anak kepada seorang ibu tunggal yang hanya bekerja selaku tukang masak di kedai makan ini merupakan pelajar cemerlang di mana memperoleh 7A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kini menuntut di Universiti Tun Abdul Razak dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Kos menyiapkan satu unit tangan mekanikal ini adalah RM7,500 di mana projek ini amat memerlukan keprihatinan banyak pihak terutama sumbangan bagi menyebarkan manfaatnya kepada golongan OKU kudung tangan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 12113010038983 atas nama Badan Amal Kami Prihatin dan sebarang pertanyaan hubungi 011-13373066 (Cikgu Yusoop). – HARAKAHDAILY 11/2/2020