Penyatuan akar umbi PAS-Umno Lumut kian erat

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah berjaya mengadakan program Santai Minum Petang Penyatuan Ummah bersama Umno Cawangan Kampung Sitiawan, di sini baru-baru.

Advertisement

Ketua Penerangan Umno Bahagian Lumut, Ustaz Hairul Abd Karim berkata, para pemimpin Umno melihat Muafakat Nasional adalah platform yang dinanti-nantikan rakyat khususnya bagi menarik sokongan orang Melayu.

Beliau amat gembira kerana para pemimpin Umno termasuk di Cawangan bersungguh-sungguh membentuk jawatankuasa dengan mengadakan mesyuarat bersama PAS dan mencadangkan pelbagai aktiviti bersama.

“Penerimaan masyarakat tak kira di mana sahaja amat baik dan dengan sebab itu pemimpin Umno Cawangan tidak melepaskan peluang ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program ini di Taman Rekreasi Ujung Tanjung itu.

Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman menyuarakan betapa Muafakat Nasional ini adalah rahmat dan harapan serta doa semua umat Islam untuk melihat orang Islam dan Melayu bersatu di bawah nama Islam.

“Setelah bertelagah hampir 60 tahun dan akhirnya boleh bersama. Ini yang kita tidak boleh nak fikir macam mana boleh bersama. Kerana ini adalah kerja Allah untuk menyatukan umat Islam yang seakidah di atas nama Islam yang mana ianya adalah rahmat yang besar dari Allah,” ujarnya.

Beliau yang juga ahli panel program bicara itu turut meluahkan rasa gembira kerana kerjasama Muafakat Nasional peringkat Cawangan telah bergerak dengan baik.

Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar bin Majid dan pimpinan Umno Bahagian Lumut. – HARAKAHDAILY 11/2/2020