Peringatan Nabi S.A.W yang menjadi realiti

TEKANAN terhadap umat Islam

(1) Hari ini kita berhadapan dengan pelbagai kerencaman. Fenomena tekanan jiwa menghiasi realiti semasa khususnya di Malaysia.

Tak perlu untuk saya panjangkan huraian mengenai bentuk tekanan di Malaysia. Cukup dengan beberapa point asas, dari sudut ekonomi, sosial, undang undang dan banyak lagi.

(2) Sepertimana yang kita nampak, tekanan jiwa atau emosi dilihat dilakukan secara terancang, dan ‘berjadual’. Seolah olah sengaja mewujudkan ledakan perasaan.

Isu isu berkaitan agama, bangsa dan hak hak orang Islam dilihat sengaja dibakar. Seolah olah cuba memaksa rakyat untuk turun di jalan jalan raya.

(3) Hal ini merupakan salah fenomena akhir zaman, yang digambarkan di dalam hadis hadis Nabi S.A.W;

Advertisement



يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت

“Akan hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai, tetapi kamu hanya seperti buih seumpama buih air banjir. Dan Allah akan cabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu, dan Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda Baginda : Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”

(Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)


Hilang kegerunan

(1) Hadis yang saya nyatakan tadi, menggambarkan suasana tekanan seluruh dunia terhadap Umat Islam. Hal ini dihuraikan di dalam kitab عون المعبود ;



يدعو بعضهم بعضًا إلى الاجتماع لقتالكم وكسر شوكتكم؛ ليغلبوا على ما ملكتموها مِن الدِّيار، كما أنَّ الفئة الآكلة يتداعى بعضهم بعضًا إلى قصعتهم التي يتناولونها مِن غير مانع، فيأكلونها صفوًا مِن غير تعب.

“Mereka menyeru sesama mereka untuk bersatu memerangi kamu dan menghancurkan duri kamu, bagi menguasai hak milik kamu antaranya tempat tinggal kami. Sepertimana sekelompok manusia mengajak antara satu sama lain untuk mengerumuni bekas makanan yang disantap tanpa sebarang halangan. Lantas mereka itu memakannya tanpa penat.”


Huraian ini menggambar bagaimana hak hak orang Islam di akhir zaman akan dicabul. Musuh musuh Islam kelaparan merembat hak hak orang Islam sepertimana mereka menyantap makanan tanpa ada sesiapa pun yang menghalang.

(2) Sambungan daripada hadis tersebut;


ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم،

“Dan Allah S.W.T akan mencabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu.”


Menggambarkan kepada kita bahawa akhir zaman, musuh Islam hilang kegentaran hati mereka untuk merembat hak orang Islam. Tidak merasa gerun langsung untuk berhadapan dengan orang Islam.

(3) Sifat yang Allah berikan kepada orang Islam ialah kegerunan musuh terhadapnya. Namun, hari ini apabila kegerunan itu dicabut, maka lihatlah apa yang terjadi.

Kegerunan ini dicabut disebabkan sikap Umat Islam sendiri yang cintakan dunia, dan takut mati. Inilah krisis yang sangat dahsyat melanda Umat Islam.

Prinsip Islam yang tercabut

(1) Nabi S.A.W pernah bersabda;


لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، وأولهن نقضا الحكم، وآخرهن الصلاة

“Akan tercabut prinsip Islam satu persatu, setiap kali ia tercabut, umat Islam akan pertahan prinsip yang berbaki. Mula mula dicabut ialah undang-undang dan akhir sekali ialah solat.”


(Riwayat Ahmad)


(2) Hadis ini seolah olah menunjukkan bahawa umat Islam ‘terlambat’ sedar. Iaitu setiap kali prinsip Islam dicabul oleh musuh Islam secara halus sejak sekian lama, barulah Umat Islam tersedar dan mempertahankan yang berbaki.

Bak kata pepatah ‘nasi sudah jadi bubur’. Apabila sudah naik pemerintah yang jahat dan mengacau Islam, baru rasa menyesal. Sebelum pemerintah jahat naik, masing masing berhujah ‘politik tak ada dalam Islam’.

Ada yang berhujah ‘pilihan raya bukan nak pilih agama’ dan sebagainya. Menggambarkan Umat Islam secara sedar atau tidak, ‘berkhidmat’ sebagai khadam musuh.

(3) Hadis ini jelas menggambarkan bahawa Umat Islam bakal berhadapan dengan fenomena tekanan. Apabila prinsip Islam dicabut satu persatu oleh pemerintah yang jahat.

Umat Islam hanya mampu lihat aset aset Umat Islam digadaikan. Umat Islam hanya mampu melepaskan geram melalui posting-posting di FB.

(4) Jelas sepertimana gambaran huraian di dalam عون المعبود tadi, bahawa musuh musuh Islam akan merembat hak hak Umat Islam tanpa ada halangan.

Halangan yang utama dalam merembat hak orang lain ialah ‘undang undang’ yang digazetkan dengan kuasa politik yang ada. Apabila ‘tercabutnya kuasa’ sepertimana hadis Nabi di atas “أولهن نقضا الحكم”, maka hak-hak Umat Islam pun dirampas dengan mudah.

Membiarkan kemungkaran

(1) Peringatan peringatan seperti ini jelas disebutkan oleh Nabi S.A.W dan huraian huraian para Ulamak. Nabi S.A.W berpesan lagi;



والَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بالْمَعْرُوفِ، ولَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ، أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّه أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلا يُسْتَجابُ لَكُمْ

“Demi jiwaku di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada kema’rufan dan mencegah kemungkaran. Atau Allah S.W.T mengirim kepada kamu azab daripadaNya, kemudian kamu berdoa pada ketika itu, tidak lagi dimustajabkan.”

(Riwayat Imam Ahmad dan Imam Tirmizi)


(2) Amaran yang tegas ini menuntut kita menyuruh kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Samada berlaku di kalangan masyarakat awam, ataupun berlaku di dalam jemaah.

Hadis ini menggambarkan bagaimana syarat penerimaan doa itu ialah apabila kita berusaha untuk melaksanakan ajaran Allah, dan bertegas terhadap kemungkaran.

(3) Sebelum ini Umat Islam ada yang bersekongkol dalam melakukan kemungkaran sesama sendiri. Rasuah merata bagi melobi projek projek.

Hari ini, sebagai balasan, Umat Islam dikuasai oleh musuhnya. Ada juga yang sekepala dengan musuh Islam itu. Kita merintih berdoa setiap hari di kala ini, sedangkan dahulunya kita berdiam dengan kemungkaran.

Kita membiarkan kemungkaran yang dilakukan oleh orang Islam satu ketika dahulu ketika berkuasa, maka hari ini umat Islam kehilangan kuasa.

Menjaga periuk nasi

(1) Fenomena tekanan jiwa melanda Umat Islam jika mengabaikan tuntutan tuntutan Islam. Tekanan yang dimaksudkan apabila doa-doa sudah terhijab akibat kemalasan menegakkan agamanya.

Nabi S.A.W bersabda;



إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِينَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَا يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ

“Apabila kamu melakukan jual beli dengan sistem ‘iinah [1], menjadikan dirimu berada di belakang ekor lembu, kamu lebih sukakan pertanian dan meninggalkan jihad, nescaya Allah akan menjadikan kamu dikuasai oleh kehinaan, Allah tidak akan mencabut kehinaan itu dari dirimu sehinggalah kamu kembali kepada Islam kamu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)


(2) Realiti inilah yang sedang terjadi kepada Umat Islam pada hari ini. Berlumba lumba mengejar dunia, sehingga mengabaikan perjuangan menegakkan Islam.

Maka Allah S.W.T menjadikan Umat Islam dikuasai dengan kehinaan. Iaitu apabila Allah beri kuasa kepada Umat Islam, tetapi Umat Islam tidak menggunakan kuasa yang ada untuk Islam.

(3) Masing-masing hanya tahu membina empayar kekayaan peribadi semata-mata. Maka, Allah S.W.T tarik balik keluasan itu sehingga Umat Islam dikuasai oleh kehinaan.

Maka, Umat Islam perlu kembali kepada Islam. Berjuang mengembalikan kekuasaan Islam yang telah tercabut itu. Realiti inilah yang sedang terlukis di akhir zaman ini.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/2/2020