Al-Quran mengajarkan akhlak semenjak era Makkah

FASA dakwah Islam pada zaman Rasulullah S.A.W dibahagikan kepada dua peringkat utama, iaitu era Makkah dan Madinah.

Fasa pertama merupakan fasa terpenting kerana ia adalah asas pembinaan peribadi seorang hamba, yang bakal menentukan kelak kemampuan dan kecekalan melaksanakan seluruh tuntutan Islam.

Dakwah di Makkah sering difahami hanya menumpukan aspek akidah. Sementara itu, ayat-ayat yang menerangkan kewajipan jihad, hukum-hakam ibadah dan muamalat, hal ehwal politik dan hubungan antarabangsa dijelaskan ketika dakwah Islam telah berkembang di Madinah.

Namun, jangan kita lupakan bahawa didikan akhlak dan nilai murni turut diterapkan sejak awal tersebarnya dakwah Baginda di Makkah.

Al-Quran ketika diturunkan di Makkah sebelum Islam memiliki kerajaan dan pemerintahan telah menekankan soal kejujuran dan integriti.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-Mutaffifin:

Advertisement


وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ (3) أَلَا يَظُنُّ أُولَئِكَ أَنَّهُمْ مَبْعُوثُونَ (4) لِيَوْمٍ عَظِيمٍ (5) يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (6)

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?”

(Al-Mutaffifin: 1-6)

Pada Surah Luqman pula al-Quran menyebutkan bahawa sejurus Luqman berpesan kepada anaknya agar menjauhi syirik, beliau menyambung nasihat tersebut dengan pesanan-pesanan supaya berakhlak mulia;


يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأمُورِ (١٧)

“Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang ma’ruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar. Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.”

(Luqman: 17)

Selain itu, Surah al-Isra’ ayat 34-38 juga menyebutkan tentang beberapa tegahan sikap buruk dan khianat yang mesti ditinggalkan umat Islam.

Inti pati dakwah paling utama dan asas sememangnya berkenaan tauhid, dan kita tidak perlu bahaskan lebih lanjut berkenaan kepentingan meluruskan akidah kerana sudah dimaklumi dan disepakati. Akan tetapi, jangan sama sekali dakwah pertama itu dihadkan hanya pada akidah. Perhatikan hadis Abu Dzar R.A yang menyebutkan secara jelas bahawa Nabi S.A.W memulakan dakwahnya dengan mementingkan seruan supaya berakhlak mulia dan berintegriti;


لما بلغ أبا ذر مبعث النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ قال لأخيه: اركب إلى هذا الوادي، فاعلم لي علم هذا الرجل الذي يزعم أنه نبي يأتيه الخبر من السماء، واسمع من قوله ثم ائتني، فانطلق الأخ حتى قدمه وسمع من قوله، ثم رجع إلى أبي ذر ، فقال له: رأيته يأمر بمكارم الأخلاق وكلاماً ما هو بالشعر

رواه البخاري.

“Ketika Saidina Abu Dzar mulai mendengar khabar tentang kerasulan Nabi S.A.W, dia telah mengutus saudara lelakinya untuk menyelidiki lebih lanjut mengenai orang yang mengaku menerima berita dari langit itu. Setelah puas menyelidiki, saudaranya pun melaporkan kepada Abu Dzar, “Aku melihat dia menyeru manusia agar berakhlak mulia. Ayat-ayat yang dibacakan kepada manusia bukannya puisi dan bukan pula kata-kata ahli syair.

Rasulullah S.A.W menjadikan akhlak sebagai tema dakwah Baginda dan sebahagian daripada maqasid Baginda diutuskan.

Sebelum membina negara dan bercakap soal hubungan antarabangsa, Baginda terlebih dahulu memastikan para pengikutnya dididik agar jujur dan berintegriti.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 12/2/2020