DAP parti angkuh, tak hormat mahkamah

JIKA DAP bukan parti angkuh dan menghormati mahkamah, maka apa yang sepatutnya pemimpin DAP lakukan ialah meminta maaf kepada pengundi Pujut khasnya dan kepada rakyat Sarawak umumnya kerana kesilapan memilih Dr Ting Tiong Choon sebagai calon di DUN Pujut dalam PRN Sarawak walaupun beliau tidak layak.

Advertisement

Begitupun, reaksi rasmi Chong Chieng Jen, Pengerusi DAP Sarawak, ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut memperlihatkan kepada rakyat betapa angkuh dan tidak menghormati mahkamahnya DAP.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut, Chong Chieng Jen tetap berkeras tidak mahu menerimanya dan menegaskan bahawa:

1. DUN Sarawak telah menyalahgunakan kuasanya.

2. Dr Ting Tiong Choon telah dipilih secara sah.

3. Dr Ting Tiong Choon akan terus berkhidmat kepada pengundi Pujut hingga habis penggal.

Lebih membahayakan lagi bila kata-kata menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan ini dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran Kerajaan Pusat seperti Chong Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jika Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara, maka tidakkah ini akan menjadikan rakyat biasa lebih berani untuk mempersoalkan keputusan mana-mana mahkamah selepas ini?

Lebih teruk lagi, Chong Chieng Jen adalah seorang peguam dan patut tahu bahawa amalan tradisi Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang (dissenting voice) akan diberikan secara individu oleh tiap-tiap hakim yang menentang, manakala suara majoriti (majority voice) pula lazimnya diberikan secara bersama.

Untuk Chong Chieng Jen meminta setiap satu daripada tujuh orang hakim yang bersetuju dengan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut menulis hujah mereka secara individu adalah satu tindakan yang melampau dan tidak menghormati Mahkamah Persekutuan.

Rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang negara seharusnya beramai-ramai bersuara mendesak Chong Chieng Jen dan DAP meminta maaf atas keterlanjurannya ini.

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 12/2/2020