Fitnah FMT: Tuntut mohon maaf, tarik balik

MERUJUK kepada hantaran di Facebook Free Malaysia Today pada hari ini yang menyatakan, “Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti Islam itu dan Umno tidak mengiktiraf kewujudan rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia.”

Kapsyen yang digunakan oleh Free Malaysia Today ini ternyata merupakan satu fitnah yang jahat kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri, PAS dan Umno. Bahkan fitnah sebegini boleh menyemarakkan lagi perpecahan kaum di Malaysia.

Melalui sidang media semalam, dengan jelas Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyatakan bahawa “Sejak daripada awal lagi sama ada PAS ataupun Umno khususnya, kita memahami dan mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan agama di negara kita, dan semuanya ada peranan dan hak masing-masing dalam negara.”

(https://youtu.be/d5oPKrr9uyk)

Oleh kerana itu, pihak kami menggesa Free Malaysia Today untuk menarik balik hantaran di facebook tersebut dengan segera dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri, PAS dan juga Umno.

Tindakan yang tidak beretika daripada portal berita seperti Free Malaysia Today akan menyebabkan keharmonian kaum di Malaysia berada dalam keadaan terancam. Saya menasihatkan para wartawan dan portal berita untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh beretika agar dihormati masyarakat.

“Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”

HJ MOHD ADRAM MUSA
Setiausaha Akhbar
Menteri Besar Terengganu

12 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 12/2/2020

Advertisement