PAS yang ‘berahi Cchamek’

CCHAMEK (disebut ‘ccha’ secara sabdu dan ‘mek’ bunyi Mc) ialah satu perkataan rakyat Terengganu yang sering digunakan. ‘Cchamek’ bermaksud merubah, membaiki, membuat sentuhan baru, ‘touch up’. Biasa jika kanak-kanak akan selalu dipesan orang tua mereka agar duduk diam, jangan ‘berahi cchamek’ barang orang ketika bertamu ke rumah orang. Perkataan berahi pula di Terengganu bermaksud suka, bukan ghairah.

Walaupun ‘cchamek’ ini pada ghalib nya digunakan kepada hal kurang baik, tapi adakalanya ia juga boleh dilihat kepada dua keadaan, baik atau kurang baik. Ia terserah kepada keadaan bagaimana hasil yang diperolehi setelah sesuatu benda itu di‘cchamek’ dan siapa yang men‘cchamek’kannya. Jadi kali ini saya cuba memberikan beberapa contoh.

PAS Terengganu, pada tahun 2000, hanya setelah beberapa bulan menang PRU, telah ‘cchamek’ undang-undang berkenaan lesen judi. Habis lesen judi dihapuskan, sampai sekarang. Manakala lesen arak, dihadkan kawasan jualan. 7E, kedai-kedai biasa, tidak lagi menjual arak secara bebas. Selamatlah anak-anak Melayu Islam dari menjadi mangsa menjual arak dan tiket judi.

PAS Terengganu juga berhasrat mengadakan semula Perundangan Islam yang pernah dijalankan ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin. Maka PAS ‘cchamek’ pula enakmen di Terengganu. Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah dibentangkan dan diluluskan di Dun dan ditandatangani oleh Sultan Terengganu dan tidak pernah pula dihapuskan selepas itu sehingga sekarang.

PAS ‘cchamek’ pula pasal pinjaman kakitangan kerajaan, daripada riba kepada bukan riba. PAS juga ‘cchamek’ pasal cuti mingguan, tambah waktu kerja, tapi cuti jadi dua hari. Jumaat hari ilmu, Sabtu hari keluarga.

Advertisement

ADUN Bandar, YB Ustaz Ahmad Shah, pernah ‘cchamek’ pondok judi di belakang Stesen Teksi Kuala Terengganu yang aktiviti berjudi dijalankan secara terbuka, atas tapak kubur lama. Akhirnya diruntuhkan pondok judi itu. Alhamdulillah tiada lagi aktiviti judi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Haji Amzad Hashim juga jenis yang ‘berahi cchamek’. Beliau mengusahakan diadakan sebuah surau di Pulau Warisan bagi kemudahan pengunjung di sana. Tiada kemudahan surau disediakan sebelum itu. Jadi tidaklah kalut jika orang mahu beribadat.

YB Ustaz Ariffin Deraman dan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah pula, ‘berahi cchamek’ Taman Tamadun Islam untuk dijadikan pusat dakwah bagi Pantai Timur. Menurut pegawai yang bertugas di situ, kehadiran pengunjung bertambah sekarang ini apabila ada program-program keagamaan. Saya rasa ini sebab orang PAS yang ramai datang. Itu kata dia, saya dengar saja.

YB Ustaz Wan Sukairi pula lagi berani, dia ‘cchamek’ sukan gimnastik wanita, sampai kena buang dari senarai terus. Tak lapar pingat emas pun. Yang penting rakyat Terengganu dapat dielakkan dari berbuat dosa. Sukan-sukan lain menutup aurat.

YB Ustaz Satiful Bahari pula sedang berusaha ‘cchamek’ Taman Ilmu yang terbengkalai dahulu bagi memastikan wang rakyat diselamatkan dan manfaatnya kembali kepada mereka walaupun kos membaikinya melebihi kos pembinaannya.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri pula telah ‘ccahmek’ dua harta kerajaan iaitu Duyung Marina Resort dan Hotel Paya Bunga menjadi hotel patuh syariah. Ramai lagi Exco-exco dan YB-YB yang telah melakukan hal kebaikan mengikut bidang masing-masing.

Ini antara perkara-perkara yang telah Kerajaan Negeri di bawah kuasa PAS, ‘cchamek’ bagi kebaikan dan kepentingan Islam di Terengganu yang akhirnya rakyat akan mendapat manfaat kerana Islam akan menjaga manusia sebagaimana janji Allah.

Terbaru, dataran Drawbridge telah di‘cchamek’ dengan dirasmikan penggunaannya bagi program kuliah agama oleh Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Azhar Idrus. Ianya bakal menjadi medan kepada program-program besar keagamaan di situ insyaAllah.

PAS tidak mengambil langkah merobohkan prasarana yang telah disiapkan oleh pemerintahan dahulu walaupun rugi, kerana itu adalah satu kebodohan. Kebodohan bukan hak PAS, ia hak kumpulan lain. Jadi PAS tidak berhak mengambil gelaran ‘bodoh’ itu. Tetapi PAS akan ‘cchamek’ prasarana itu bagi menjadikannya menurut kehendak Islam dan memberikan kebaikan kepada rakyat.

Jadi kepada sesiapa yang mengatakan mengapa PAS gunakan dan juga banggakan ‘Dewa Laut’ itu sekarang yang dahulunya PAS katakan membazir? Jawapannya ialah memang membazir, tetapi ianya sudah hampir siap. Sebab itu PAS mahukan kuasa untuk mengajar kepada orang lain, bagaimana mahu memanfaatkan harta rakyat supaya tidak membazir dan membawanya mengikut Islam.

Jadi, nampakkah anda, dengan mengundi PAS, insyaAllah akan mendapat pahala kerana ‘cchamek-cchamek’ yang telah dilakukan PAS ini. Atau yang marahkan PAS gunakan populariti Drawbridge bagi kebaikan Islam itu sangat membenci Islam? Kalau dari PH, kita tak hairan, tapi kalau dari Umno (sebahagian yang masih degil itu) agak peliklah, sebab kata nak muafakat.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 12/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.