Skuad UPAYA medan berdayakan aktivis OKU

DUNGUN: Inisiatif Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat mewujudkan Sekretariat Prihatin Orang Kurang Upaya (UPAYA) bagi menghimpunkan aktivis daripada golongan berkenaan merupakan daya usaha yang wajar didukung bersama.

Advertisement

Setiausaha Kebajikan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ghazali Sulaiman berkata, skuad UPAYA itu telah dilancarkan untuk diperluaskan lagi peranannya pada Konvesyen Kebajikan Nasional di Bangi awal minggu ini.

“Dengan diraikan golongan berkenaan, maka sudah tentu ianya akan memberi golongan kurang upaya untuk turut berjuang di dalam perjuangan PAS bagi menegakkan Islam.

“Serta suara mereka akan dapat didengari bagi memperjuangkan nasib golongan seperti mereka, dengan keistimewaan dan kelebihan mereka miliki dapat dimanfaatkan bagi perjuangan Islam,” ujarnya.

Katanya, konvesyen berkenaan telah dihadiri bersama dengan Pengerusi Lajnah Kebajikan Terengganu, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang juga merupakan Ahli Parlimen Dungun.

Turut serta bersama selaku peserta adalah Bendahari Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Alias Harun juga merupakan ADUN Rantau Abang.

Menurutnya, pada pertemuan berkenaan hatinya tersentuh melihat golongan OKU yang hadir dengan kelemahan mereka miliki, namun seperti tiada halangan untuk turut serta dengan menepati masa.

“Sekarang ini kita diperingkat Terengganu insya-Allah akan memikirkan cara serta mengambil langkah supaya Skuad UPAYA ini akan turut diperkasakan di peringkat negeri Terengganu.

“Tiada dapat dinafikan di kalangan mereka ada yang boleh menghafal al-Quran, boleh berpidato dengan baik, dan sebagai kelebihan yang membolehkan mereka berperanan dengan baik di lapangan.

“Bertepatan dengan apa yang Allah firmankan bahawa yang menjadi perkiraan di sisi Allah bukanlah rupa paras elok, bentuk fizikal yang sempurna, tetapi diambil kira ialah nilai ketakwaan serta tahap keikhlasan.

“Mereka berhak untuk turut menyumbang sesuatu kepada masyarakat dalam apa jua bentuk termsuk kebajikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/2/2020