Aqidah dan kepimpinan (tanpa tahun)

BUKU Aqidah dan kepimpinan adalah antara karya Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang ditulis pada akhir dekad 1980-an, iaitu sekitar 1989. Buku ini membahaskan kedudukan dan kepentingan aqidah sebagai asas pembinaan kepemimpinan orang-orang yang beriman. Pada hari ini masyarakat yang tidak mempedulikan iman pemimpinnya telah menghadapi konflik keyakinan terhadap wibawa pemimpin mereka, kerana selama ini faktor keimanan dan ketakwaan tidak dijadikan sandaran dalam mengangkat pemimpin.

Penulis secara ringkas merumuskan mengenai kepentingan seseorang pemimpin Islam itu memiliki keimanan dan aqidah yang teguh. Tidak memadai bagi seorang pemimpin hanya memiliki ilmu dan kepetahan bercakap, tetapi mesti juga memiliki aqidah yang kental, kerana mereka akan diuji oleh Allah dengan amanah. Untuk itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menggariskan tiga aspek penting sebagai persediaan bagi pemimpin untuk membentuk syakhsiah beraqidah iaitu ilmu, amal dan tazkiah serta mahsalah (ujian). Ketiga-tiga aspek ini mestilah dimiliki oleh setiap pemimpin di mana mereka mestilah berilmu dengan mendalam mengenai seluruh aspek ajaran agama dan tasawurnya, bermuhasabah dengan amal-amalnya termasuk bermujahadah dalam amalnya serta tahan dan sabar setiap kali didatangkan ujian oleh Allah. Ketiga-tiga aspek ini menjadi tunjang untuk membina kekuatan aqidah seseorang pemimpin Islam.

Maklumat buku:

Nama buku
: Aqidah dan kepimpinan
Penerbit: Jabatan Penerangan PAS Pusat, Kuala Lumpur
Tahun terbit: Tanpa tarikh (sekitar 1989)
ISBN: Tiada
Kulit: Lembut
Muka surat: 20 ms
Saiz: 21.5 cm x 14 cm
Status: Langka (nadir)
Sumber untuk rujukan: Maktabah al-Balaghul Mubin

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
18 Jamadil Akhir 1441
13 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 13/2/2020

Advertisement