Halaqat kendali 2,500 kuliah agama seminggu

KOTA BHARU: Mungkin ramai bertanya-tanya apa rahsia PAS di Kelantan sehingga mampu mentadbir kerajaan negeri sejak 1990 sehingga sekarang.

Advertisement

Antaranya setiap minggu diadakan lebih 2,500 kuliah agama dan penjelasan isu semasa di madrasah, surau dan masjid di seluruh negeri itu.

Kuliah tersebut tidak termasuk kuliah agama yang diadakan di masjid-masjid bandar di Kelantan.

Ketua Pengelola Bahagian Dakwah Halaqat Negeri, Ustaz Mohamad Bakhari Hamat berkata, kuliah agama disampaikan pengelola, pegawai dan pembantu pegawai hampir setiap malam.

Katanya program tersebut diadakan sejak April 1991 sehingga sekarang dikendalikan Pegawai Dakwah Halaqat.

“Kuliah agama disampaikan seramai 531 petugas yang terdiri daripada pengelola, pegawai dan pembantu pegawai di peringkat kawasan di seluruh Kelantan.

“Mereka mempunyai jadual yang ditetapkan bagi menyampai kuliah agama berkaitan ilmu Hadis, tafsir al Quran, Fiqah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu terdapat modul khas yang digubal Dakwah Halaqat sebagai panduan setiap kali kuliah agama diadakan.

Kata beliau juga petugas terbabit mempunyai tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). – HARAKAHDAILY 13/2/2020