Lembaga Disiplin PKR lemah – Zuraida

KOTA BHARU: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan pengurusan Lembaga Disiplin parti itu lemah berhubung menentukan tarikh pendengaran tuduhan disiplin terhadapnya.

Advertisement

Kata beliau pegawainya sudah berhubung dengan Lembaga Disiplin bagi memaklumkan persetujuan tarikh pendengaran pada 25 Februari ini.

“Tetapi saya pun hairan kenapa ada keluar satu statement semalam mengatakan sebelum 20 Februari pula. Jadi ini saya tidak faham, di mana pihak pengurusan itu sendiri mungkin komunikasi breakdown.

“Sedangkan tarikh 25 Februari telah dipersetujui,” katanya selepas perasmian Program Anti-Litter “Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Koksey” yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Negeri, Dr Izani Husin di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini. 

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Dato’ Ahmad Kassim dilapor berkata, pihaknya bersetuju memberi tempoh sehingga 20 Februari ini untuk Zuraida hadir pendengaran disiplin terhadapnya.

Menteri Kerajaan Perumahan dan Tempatan itu dikenakan tiga tuduhan disiplin sebelum ini kerana mengkritik Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Zuraida juga berkata, dalam proses disiplin ada satu tahap mesti memberi penjelasan secara bertulis dan penjumpaan dengan Lembaga Disiplin bagi memberi penjelasan. – HARAKAHDAILY 13/2/2020