Undi Percaya kerana rakyat bosan perebutan kuasa

PAS melalui Timbalan Presiden YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agung YB Dato’ Takiyuddin Hassan telah menyatakan pada 8 Februari bahawa PAS akan membawa Usul Undi Percaya bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bersetuju sekiranya Usul Percaya ini dibawa dalam sidang Parlimen oleh mana-mana Ahli Parlimen bagi memberi signal jelas kepada semua rakyat sejauh manakah sokongan yang diperolehi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Umum mengetahui mengenai hasrat menggantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dengan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebelum habis penggal pemerintahan Pakatan Harapan, namun belum pun tiba tempoh dua atau tiga tahun seperti didakwa, rakyat disajikan dengan pertelingkahan terbuka pimpinan kerajaan sama ada di media cetak mahupun media sosial. Situasi ini semestinya merimaskan rakyat di saat pelbagai manifesto belum nampak sinar untuk ditunaikan, ekonomi negara yang tidak menentu serta kos sara hidup semakin menekan.

Pertelingkahan terbuka pimpinan PH yang memegang teraju kepimpinan negara berkenaan kepimpinan Perdana Menteri menimbulkan persoalan adakah Perdana Menteri sekarang ini benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan? Undi Percaya adalah selari dengan Perlembagaan sepertimana juga Undi Tidak Percaya.

Undi Percaya bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri pernah dilakukan pada tahun 1976 untuk menyokong kepimpinan Tun Hussein Onn melalui Ahli Parlimen Datuk Senu bin Abdul Rahman, malah pernah dilakukan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 melalui Ahli Parlimen Dato’ Ir Mohd Zin bin Mohamed.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berpandangan bahawa menukar Perdana Menteri tidaklah sewajarnya mengikut budaya PKR menukar wakil rakyatnya sesuka hati sebelum tamat penggal sepertimana yang kita lihat dalam beberapa siri PRK yang terpaksa dilakukan apabila wakil rakyat PKR meletak jawatan hanya kerana strategi politik. Apabila budaya ini mahu diteruskan, kali ini melibatkan Perdana Menteri yang merupakan kepala pemerintahan semua rakyat maka PH harus menjangkakan bantahan dari pelbagai pihak.

PH sewajarnya membuktikan melalui Parlimen bahawa Perdana Menteri dari gabungan pakatan mereka mendapat sokongan majoriti ahli dewan tidak kira sama ada usul ini dibawa oleh Ahli Parlimen dari blok kerajaan atau pembangkang. Sikap melatah dan kepanasan hanya menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.

DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/2/2020

Advertisement