Muafakat Nasional dan persepsi anak muda

Islam sebagai pengimbang politik etnik

PERKEMBANGAN terkini politik tanah air amat menarik untuk dikaji. Golongan anak muda (bawah 40) memiliki pendirian tersendiri yang berbeza daripada kelompok etnik mereka tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Walaupun Muafakat Nasional disokong oleh majoriti Melayu Islam, tetapi trend berbeza yang agak signifikan dilihat pada anak muda terutama yang berada di peringkat pengajian tinggi. Mereka tidak bersetuju kerana menyangka ia boleh menggugat kestabilan politik dan bersifat perkauman.

Begitu juga kalangan anak muda Cina terutama golongan siswazah atau freshie hingga ke 40 tahun. Walaupun kebanyakan Cina bersama aspirasi DAP, tetapi golongan profesional muda melihat secara rasional. Dengan kelembapan ekonomi, mereka menyalahkan DAP dan PH yang keterlaluan berpolitik.

Terdapat trend yang agak signifikan juga di kalangan etnik India secara umum. Mereka melihat tidak mempunyai dukungan politik di kalangan dua gergasi politik Malaysia ini. Walaupun wakil-wakil politik mereka ramai di dalam kerajaan, tetapi nasib mereka masih tidak banyak berbeza berbanding kaum Cina.

Muafakat Nasional perlu melihat perkembangan ini secara rasional dan teliti. Sekiranya hanya difokuskan kepada kaum Melayu sahaja, mungkin ia nampak solid buat masa ini. Namun untuk beberapa dekad mendatang, ia agak bahaya.

Justeru itu Muafakat Nasional perlu lebih bersifat terbuka dengan tidak membawa mesej kaum secara keterlaluan hingga menyebabkan kaum lain termasuk anak muda Melayu sendiri merasa tidak senang.

PAS sebagai sebuah parti berteraskan Islam boleh mengambil pendekatan mengimbangkan unsur kaum dalam Muafakat Nasional. Apabila berada sepentas dengan Umno yang terkenal dengan semangat kemelayuan tinggi, perlu sampaikan mesej keadilan Islam yang merentasi sempadan kaum. Perlu juga bangkitkan jasa-jasa kaum lain dalam memperjuangkan kedaulatan negara.

Bagi Umno pula, selain perlu mengendurkan semangat kemelayuan yang sesetengahnya melampau hingga menakutkan pihak lain, penting juga untuk mereka mengembalikan kepercayaan rakyat dengan membersihkan parti daripada imej kleptokrasi. Pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan krisis integriti sewajarnya direhatkan dengan menampilkan muka-muka baru yang lebih bersih.

Bukanlah dikatakan perjuangan Melayu tidak relevan. Tetapi perjuangan ini perlu dilihat dengan siyasah nafas panjang. Kejatuhan BN sekarang berpunca daripada ketidakpedulian mereka terhadap generasi muda Melayu dan marhaen daripada kaum lain. Lompang inilah yang dimanipulasi PH sehingga mampu menjatuhkan kuasa yang tertegak sejak merdeka dahulu.

ALANG IBN SHUKRIMUN
20 Jumadal Ukhra 1441
14 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 14/2/2020

Advertisement