Tubuh RCI buktikan serius tangani isu landa TH

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling baik bagi menangani pelbagai isu yang melanda Tabung Haji yang dikatakan melibatkan salah guna kuasa dan ‘urusan luar biasa’ sama ada semasa pengurusan terdahulu atau baharu.

Advertisement

Selain isu salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan kewangan TH oleh pengurusan lama seperti yang sering dituduh oleh pemimpin Kerajaan terutamanya Menteri Hal Ehwal Agama sendiri sedangkan tiada satu pun pendakwaan telah dibuat sehingga kini, isu penjualan tanah-tanah ladang milik TH Plantation Berhad dan pelupusan aset TH kepada syarikat SPV yang penuh dengan keraguan yang berlaku di bawah rejim baru juga perlukan jawapan sebenar mengenainya.

Justeru, RCI yang dijamin ketelusannya adalah sangat penting bagi menangani persepsi awam terhadap TH sekaligus menghapuskan tanggapan negatif yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan ke atas TH.

Sikap Menteri berkenaan pula yang menolak keperluan RCI pada masa siasatan oleh PDRM dan SPRM kelihatan seperti tiada perkembangan sejak lebih setahun lalu dan maklum balas yang telus tidak diberikan bagi menjelaskan isu-isu semasa, adalah amat pelik sedangkan beliau paling lantang menyuarakan kesungguhan untuk membasmi penyelewengan yang melibatkan kepentingan TH.

Jika sungguh Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) serius mahu menanganinya, buktikannya dengan menubuhkan RCI.

Jangan jadikan isu yang melanda TH yang amat penting buat umat Islam ini semata-mata sebagai peluru untuk menyerang seteru.

Saya menyokong penuh Kenyataan Media Muafakat Nasional yang dikeluarkan hari ini.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 14/2/2020