Islam dan perkembangannya di Amerika Syarikat

ISLAM atau Muslim adalah satu perkataan atau agama yang ditakuti di Amerika Syarikat saat ini. Tambahan sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, momokan bahawa Islam dan umatnya adalah pencetus keganasan bertambah kuat dengan retorik Donald Trump dan pendokong kuatnya terutamanya kumpulan ekstrimis kulit putih White Nationalist dan kumpulan Kristian Evangelical.

Advertisement

Islamofobia di Amerika Syarikat bertambah buruk saat ini, boleh dikatakan saban hari berlaku di serata tempat di Amerika Syarikat.

Walaupun begitu, Islam sebenarnya adalah agama ketiga terbesar di Amerika Syarikat selepas Kristian dan Judaisme atau agama Yahudi iaitu seramai 3.45 juta orang atau 1.1 peratus daripada jumlah populasi penduduk Amerika Syarikat.

Daripada jumlah tersebut, 25 peratus daripadanya adalah muallaf atau menukar agama kepada Islam. 65 peratus daripada umat Islam di Amerika Syarikat adalah ahli sunnah wal-jamaah, 11 peratus adalah syiah dan bakinya tidak mengikuti mana-mana mazhab ataupun pegangan.

Islam di Amerika Syarikat tidak didominasi oleh mana-mana kaum atau bangsa dengan 25 peratus daripadanya dari kalangan orang kulit hitam, 24 peratus dari kalangan orang kulit putih, 18 peratus berketurunan Asia, 18 peratus berketurunan Arab, 7 peratus berketurunan campuran dan 5 peratus berketurnan Hispanik.

Populasi umat Islam di Amerika Syarikat berkembang dengan pesat sejak sedekad lalu. Tragedi 9/11 yang telah menyebabkan ketakutan dan kebencian terhadap umat Islam seterusnya mencetuskan Islamofobia, tidak menjadi halangan terhadap perkembangan Islam di Amerika Syarikat.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center, pada tahun 2007, jumlah populasi umat Islam di Amerika Syarikat berjumlah 2.35 juta orang namun pada 2017, jumlah tersebut bertambah hampir 50 peratus kepada 3.45 juta orang.

Sejarah Kedatangan Islam di Amerika Syarikat.

Kedatangan Islam ke Amerika Syarikat atau Amerika Utara dikesan seawal abad ke 12 sebelum kedatangan Christopher Columbus dan dipercayai ia adalah daripada kalangan pedagang atau peneroka dari Dunia Islam yang mencari dunia baru untuk berdagang ataupun sumber alam untuk diteroka.

Terdapat juga rekod sejarah Amerika Syarikat menunjukkan pada abad ke 17,bangsa Moor telah mendiami South Carolina kerana telah diusir dari Sepanyol atas arahan Raja Sepanyol. Namun kedatangan pertama orang Islam yang direkodkan di Amerika Syarikat ialah seorang pengembara dari Maghribi, Mustafa Azemmouri yang mendarat di Florida pada tahun 1527.

Walaubagaimanapun, rekod kedatangan jelas umat Islam ke Amerika Syarikat atau Amerika Utara ialah ketika penjualan hamba abdi dari Afrika ke Amerika Syarikat dari abad ke 16 hingga ke 19 yang berjumlah sekitar 10 juta orang dimana 10 hingga 50 peratus dari jumlah hamba abdi tersebut adalah beragama Islam.

Pedagang-pedagang Portugis adalah yang pertama melakukan penjualan hamba abdi rentas Atlantik ke Amerika Utara sebelum diteruskan oleh pedagang-pedagang lain dari Eropah. Kebanyakkan hamba abdi dari Afrika ini mendiami negeri-negeri yang terletak di selatan Amerika Syarikat seperti di Georgia, Missisippi, Alabama, Louisiana, South Carolina, Florida dan Texas.

Pada awal abad ke 19, orang-orang Islam dari Asia Barat terutamanya dari Syria dan Lubnan telah mula berhijrah ke Amerika Syarikat dan mendiami negeri-negeri di bahagian tengah Amerika Syarikat di Ohio, Iowa, Michigan, South Dakota dan North Dakota. Ketika ini Amerika Syarikat baru sahaja melalui fasa pertama revolusi perusahaan.

Penghujung abad ke 19 menyaksikan penghijrahan besar orang Islam ke Amerika Syarikat dari Asia dan Afrika terutamanya ke negeri pantai timur dan barat Amerika Syarikat seperti New York dan California serta Michigan di bahagian tengah Amerika Syarikat. Ketika ini revolusi perusahaan di Amerika Syarikat baru sahaja memasuki fasa kedua dan sedang pesat berkembang terutamanya sekitar tahun 1850 hingga 1914.

Ledakan revolusi perusahaan fasa kedua ini memerlukan ramai tenaga buruh yang menyaksikan bukan sahaja membabitkan dari kalangan umat Islam dari Asia dan Afrika, tetapi juga dari kalangan agama dan bangsa lain dari Eropah, Amerika Selatan, Rusia, Jepun dan China.

Ledakan revolusi perusahaan di Amerika Syarikat menyaksikan taburan orang Islam tidak hanya seperti ketika era zaman penghambaan pada abad ke 16 hingga ke awal abad 19 yang hanya tertumpu di ladang-ladang tetapi kali ini orang Islam turut mendiami kawasan bandar seperti New York, Detroit dan Chicago.

Pertambahan populasi umat Islam ini turut menyebabkan terdirinya masjid-masjid di kawasan yang didiami mereka yang turut menandakan berlakunya pekembangan mahupun pertambahan umat Islam di satu-satu kawasan mahupun bandar.

Masjid pertama yang didirikan di Amerika Syarikat ialah di Chicago pada tahun 1893. Bandar Chicago ketika itu dihuni oleh banyak imigran Islam dari Palestin, Mesir dan Maghribi. Masjid yang didirikan senibinanya menyerupai Masjid Al-Ashraf di Kaherah, Mesir menandakan pengaruh populasi imigran Islam yang berasal dari Asia Barat di bandar tersebut.

Masjid kedua dibina di Highland Park, Michigan pada tahun 1921, iaitu 28 tahun selepas didirikan masjid pertama di Chicago. Pembinaan masjid ini juga menandakan telah bermulanya perkembangan Islam dibandar-bandar utama Amerika Syarikat dan agama Islam telah mula diterima di kalangan masyarakat utama Amerika Syarikat.

Perkembangan Islam Di Amerika Syarikat.

Perkembangan Islam di Amerika Syarikat mula meningkat ketika bermulanya revolusi perusahaan yang kedua dimana ketika itu berlakunya kemasukan besar-besaran orang-orang Islam dari Asia Barat dan Asia Tengah dan terutamanya kebangkitan semula Islam dikalangan orang kulit hitam.

Walaupun pada awal abad ke 16 hingga ke abad 19 berlaku kemasukan orang-orang Afrika yang beragama Islam sebagai hamba abdi dalam jumlah yang besar ke Amerika Syarikat, namun tidak berlaku langsung perkembangan agama Islam ketika itu.

Ini adalah kerana mereka terpaksa menyorokkan status keagamaan mereka apabila tiba di ladang–ladang milik orang kulit putih di mana mereka ditempatkan. Jika status agama mereka diketahui, mereka akan diseksa dan dipaksa meninggalkan agama Islam seterusnya memeluk agama Kristian.

Maka majoriti daripada orang–orang Afrika yang berstatus hamba abdi ini terpaksa melakukan solat, puasa dan pelbagai ibadah lagi secara sembunyi dan rahsia.

Menurut Kambiz Ghanea Bassiri, seorang Professor dari Reed Collage di Portland, Oregan dan penulis buku terkenal berkenaan sejarah Islam di Amerika Syarikat menyatakan dalam bukunya bahawa ketika Amerika Syarikat masih lagi mengamalkan penghambaan, kebanyakkan orang–orang Afrika yang beragama Islam ini yang dibawa masuk sebagai hamba abdi masih lagi cuba mengamalkan ajaran Islam walau berdepan dengan tekanan dan seksaan.

Mereka ini dalam satu keadaan lain pula cuba menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya orang kulit putih Amerika Syarikat yang beragama Kristian. Ada dikalangan mereka ini diseksa apabila diketahui mereka beragama Islam malah dipaksa untuk memeluk agama Kristian.

Akhirnya majoriti daripada mereka ini memeluk agama Kristian kerana ia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa mereka, memudahkan urusan kehidupan mereka dan untuk mengelakkan diri mereka daripada diseksa.

Menurut beliau lagi, akibat daripada itu, majoriti generasi kedua tidak lagi mengamalkan Islam sebagaimana generasi pertama seterusnya tiada lagi Islam diamalkan secara terbuka sebagaimana yang dilakukan sebelum itu.

Walaupun majoriti daripada mereka meninggalkan agama Islam, masih ada yang cekal mempertahankan pegangan Islam hingga ke akhir hayat. Di antara yang terkenal ialah Bilalia Fula, seorang hamba abdi beragama Islam yang tinggal di Sea Island, Georgia pada hayatnya.

Disebalik kesukaran hidupnya sebagai hamba abdi, beliau tetap berpegang kepada ajaran Islam. Diangkat sebagai wira kerana beliau bersama-sama tentera Amerika Syarikat berperang dengan British pada perang British dan Amerika Syarikat 1812 dan dikatakan apabila beliau meninggal dunia, dia dikebumikan bersama sejadah dan Al–Quran miliknya.

Seorang lagi yang tercatat dalam sejarah Islam Amerika Syarikat ialah Al Haj Omar Ibnu Said, seorang penulis dan agamawan yang berasal dari Senagal yang dijual sebagai hamba abdi untuk dihantar ke Amerika Syarikat pada 1807.

Ketika hayatnya beliau sempat menulis biografi tentang kehidupan beliau di Amerika Syarikat yang dilakukannya pada 1831. Diantara catatan beliau dalam biografinya ialah sebelum ditangkap dan dijual sebagai hamba abdi, beliau adalah pedagang, telah mengerjakan haji dan mempelajari Al – Quran selama 25 tahun.

Setelah dibawa ke Amerika Syarikat pada umur 37 tahun, beliau menceritakan kesukaran kehidupan untuk tinggal di sebuah negara Kristian selama 24 tahun. Disebalik kesukaran itu, beliau terus berpegang kepada Islam sehingga akhir hayatnya.

Berdasarkan biografi beliau, beliau diakui sebagai ‘First American Muslim’ dan diatas legasi itu, sebuah masjid di Fayetteville, North Carolina dinamakan diatas nama beliau sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau yang secara dokumentasi membuktikan kewujudan Islam dan menjadi pegangan sebilangan kecil warga Afrika yang menjadi hamba abdi ketika itu.

Tercatat juga dalam sejarah Islam Amerika Syarikat apabila orang kulit putih pertama yang memeluk Islam ketika era penghambaan iaitu Muhammad Alexander Webb. Dilahirkan di New York dan dibesarkan sebagai seorang Protestan, beliau memeluk Islam setelah mengkaji kehidupan orang–orang Islam ketika menjawat jawatan Konsul Amerika Syarikat di Filipina pada 1887.

Dicatatkan setelah memeluk Islam, beliau mengabdikan diri untuk Islam di Amerika Syarikat dan menubuhkan American Islamic Propaganda Movement untuk melebarkan pengaruh Islam di Amerika Syarikat.

Kebangkitan sebenar Islam di Amerika Syarikat bermula sekitar tahun 1900 dan kebangkitan Islam itu diterajui oleh orang kulit hitam yang kebanyakkan mereka dahulunya adalah hamba abdi atau generasi sebelumnya.

Kemasukan orang–orang Islam dari Asia Barat dan Asia Tengah pada penghujung abad ke 19 boleh dianggap sebagai pencetus atau pemangkin kepada kebangkitan ini. Era penghambaan di Amerika Syarikat ketika itu sudah hampir ke penghujungnya walau masih terdapat lagi negeri-negeri yang enggan akur sepenuhnya.

Kebangkitan pertama pada 1913 dimulakan oleh Noble Drew Ali yang kemudiannya membuka Moorish Science Temple di Newark, New Jersey pada tahun yang sama. Beliau menuntut semula hak orang kulit hitam iaitu agama Islam yang dinafikan ketika era penghambaan.

Dalam masa yang sama beliau memperjuangkan kebebasan dan hak sama rata bagi orang kulit hitam serta menentang penindasan ekonomi dan rasis terhadap orang kulit hitam. Perjuang beliau mendapat sambutan dikalangan orang kulit hitam.

Pada 1928, sebuah lagi Moorish Science Temple dibuka di Chicago setelah mendapat sambutan hangat malangnya apa yang diusahakan Noble Drew Ali gagal diteruskan setelah kematian beliau setahun kemudiannya.

Ketika ini terdapat pelbagai pertubuhan yang mewakili orang kulit hitam yang beragama Islam di Amerika Syarikat termasuk Ahmadiyyah yang dibawa masuk dari India pada 1921. Namun yang paling menonjol ketika itu ialah Nation of Islam in America yang ditubuhkan di Detroit, Michigan pada 1930.

Pertubuhan ini berjaya membawa perubahan dikalangan orang kulit hitam yang beragama Islam dengan menekankan ke arah pendidikan, pembangunan ekonomi, moral dan jati diri terhadap agama dan bangsa. Namun ketika itu banyak pertubuhan – pertubuhan Islam sebegini lari dari ajaran Islam yang sebenar kerana Islam masih longgar dan tiada asas kukuh di Amerika Syarikat ketika itu.

Selepas perang dunia kedua, orang–orang Islam dari Asia Barat, Asia Tenggara, Rusia dan ramai warga Palestin berhijrah ke Amerika Syarikat samada untuk belajar atau lari daripada peperangan. Ketika ini Islam mula berkembang secara perlahan–lahan ke seluruh Amerika Syarikat.

Masjid–masjid didirikan dan umat Islam mula memenuhi bandar–bandar utama Amerika Syarikat dan ketika ini Islam mula diiktiraf sebagai salah satu agama terbesar di Amerika Syarikat. Pada tahun 1952, pertubuhan Islam pertama yang mewakili umat Islam Amerika ditubuhkan iaitu Federation of Islamic Association.

28 Jun 1957, The Islamic Center of Washington D.C. telah dibuka dengan kehadiran Presiden Dwight D. Eisenhower. Pertubuhan–pertubuhan Islam dari serata Amerika Syarikat hadir pada pembukaan tersebut dan ia merupakan simbol bahawa Islam telah mula diterima dan bertapak kukuh di Amerika Syarikat.

Namun ketika ini Islam yang pelbagai mazhab, cabang dan fahaman sudah mula bercampur aduk tanpa panduan. Baik Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syiah dan beberapa fahaman lagi, mereka kebanyakkannya tidak mahu dikenali mengikut mazhab tetapi mahu dikenali sebagai American Muslim.

Walaupun tidak semua dan terdapat lagi yang berpegang teguh kepada mazhab dan fahaman masing–masing, tetapi majoritinya mengamalkan ajaran ‘mainstream’ mazhab–mazhab dan fahaman berlainan secara keseluruhan sehingga jelas kelihatan kekeliruan majoriti umat Islam Amerika Syarikat seperti sekarang.

Walaupun ketika itu perpaduan amat perlu dikalangan umat Islam di Amerika Syarikat untuk mengelak penindasan dan rasis, percampuran pelbagai mazhab dan fahaman menyebabkan kekeliruan identiti dan ajaran Islam yang sebenar sehingga ke hari ini.

Pada pertengahan 1960an, Malcolm X atau El-Hajj Malik El-Shabazz, satu nama yang cukup berpengaruh dikalangan umat Islam Amerika Syarikat telah keluar daripada Nation Of Islam, pertubuhan terbesar yang mewakili umat Islam di Amerika Syarikat.

Beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan pertubuhan tersebut kerana menganggap Nation Of Islam telah lari dari ajaran Islam yang sebenar. Setelah keluar dari Nation Of Islam, Malcolm X mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dengan mengikuti mazhab Ahli Sunnah Wal–Jamaah setelah pulang daripada menunaikan haji.

Beliau menubuhkan Muslim Mosque Inc. (MMI), Organization of Afro – African Unity dan Islamic and Pan–African Organization sebagai platform untuk meneruskan perjuangan beliau. Beliau akhirnya dibunuh setelah menerima pelbagai ancaman sejak keluar dari Nation Of Islam.

1975, Nation of Islam telah mengikut jejak langkah Malcolm X apabila telah meninggalkan perkara–perkara khurafat dan tidak berkaitan langsung dengan Islam. Malah Nation of Islam telah meninggalkan kecelaruan percampuran mazhab dan fahaman setelah dipimpin oleh W. Deen Mohammad. Beliau kemudian menukarkan nama Nation Of Islam kepada American Muslim Mission.

Apabila melihat umat Islam Amerika Syarikat hari ini, kita akan sedar sebahagian daripada mereka bercelaru dan terdapat campur aduk dalam ajaran Islam mereka. Itu belum dicampur lagi dengan golongan pluralisme agama dan liberal yang bertapak dalam pelbagai pertubuhan Islam.

Apa disoroti sejarah perkembangan Islam di Amerika Syarikat, pastinya ramai akan faham dan sedar bagaimana ia terjadi dan sudah menjadi amalan sebahagian masyarakat Islam Amerika Syarikat. Apapun masih terdapat lagi pertubuhan yang meneruskan perjuangan untuk membentuk kembali minda umat Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Namun cabaran yang menanti mereka amat besar dan cukup berliku.

Umat Islam dan Dunia Politik Amerika Syarikat.

Perubahan iklim politik Amerika Syarikat terutamanya dikalangan orang Islam Amerika Syarikat selepas Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat menyaksikan pada pilihanraya 2018 Demokrat merampas Kongres daripada Republikan.

Menariknya kali ini, dua wakil House of Representatives adalah dari kalangan orang Islam iaitu Ilhan Omar yang mewakili Minnesota 5th District dan Rashida Talib, yang mewakili Michigan 13th District. Ilhan Omar, seorang imigran dari Somalia dan Rashida Talib adalah anak kepada pasangan imigran daripada Palestin.

Pada pilihanraya 2018 ini juga menyaksikan pertambahan besar jumlah calon dari kalangan orang Islam yang bertanding. Seramai 90 calon terutamanya dari Demokrat bertanding pada pilihanraya 2018 samada diperingkat tempatan, negeri dan nasional.

Ia adalah jumlah teramai dalam mana–mana pilihanraya semenjak peristiwa 9/11 pada tahun 2001. Dipercayai pertambahan jumlah ini adalah kerana gelombang anti Islam yang meningkat semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Namun begitu kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center dari 2007 hingga 2017 menunjukkan peningkatan ketara sokongan pengundi Islam terhadap Demokrat, dan walaupun sokongan pengundi Islam terhadap Demokrat bertambah, Republikan tidak kehilangan pengundi mereka yang beragama Islam.

Mereka berjaya mengekalkan sokongan pengundi Islam dengan pertambahan yang sedikit. Pengundi Islam yang tidak memihak kepada mana–mana parti mengalami penurunan yang agak besar iaitu sebanyak 6 peratus.

2017 menyaksikan Demokrat memperolehi 66 peratus sokongan pengundi Islam, meningkat 3 peratus dari tahun 2007. Dalam tempoh 10 tahun, Demokrat hanya memperolehi peningkatan sebanyak 3 peratus undi.

Republikan pula pada 2017 memperolehi 13 peratus undi orang Islam, pertambahan 2 peratus dari tahun 2007. Dalam tempoh 10 tahun, Republikan hanya menambah 2 peratus undi dari kalangan orang Islam.

Kajian yang sama juga menunjukkan 6/10 daripada pengundi Islam Republikan mengatakan parti tersebut mesra terhadap Islam dan setengah daripada pengundi Islam Demokrat juga berpendapat sedemikian terhadap parti mereka.

Kajian yang dijalankan juga menunjukkan hampir keseluruhan pengundi Islam Republikan sependapat dengan rakan mereka yang bukan Islam dalam segala bentuk polisi parti tersebut termasuk Imigresen. Pengundi Islam Demokrat juga turut sependapat dengan rakan bukan Islam mereka dalam segala polisi yang diketengahkan parti mereka.

Ini menunjukkan tidak banyak perubahan sokongan pengundi Islam yang berlaku ke atas kedua – dua parti. Namun kemenangan Demokrat merampas Kongres dengan memenangi majoriti dijangka mampu mengubah pola pengundian Pilihanraya Presiden pada November 2020.

Selepas Donald Trump dilepaskan oleh Senat Amerika Syarikat daripada pertuduhan salahguna kuasa, undian yang dijalankan oleh beberapa rangkaian televisyen satelit bersama organisasi seperti Gallup dan menunjukkan sokongan terhadap Donald Trump meningkat lebih 13 peratus kepada 50 peratus, lebih banyak daripada ketika Kongres sedang melakukan siasatan terhadap salah laku beliau.

Dalam kajian sama yang dijalankan oleh Gallup, 6 daripada 10 rakyat Amerika Syarikat berpendapat keadaan mereka lebih baik daripada 3 tahun dahulu ketika Donald Trump mula–mula menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Dalam satu lagi kajian terbaru yang dijalankan oleh Mason – Dixon Polling & Strategy Firm menunjukkan bahawa Donald Trump sedang mendahului kesemua pencabarnya dari Demokrat dengan dua digit. Donald Trump mendahuli pencabar terdekatnya Micheal Bloomberg dengan 14 mata, Bernie Sanders dengan 14 mata, Joe Biden dan Pete Buttigieg masing – masing dengan 21 dan 20 mata dan Elizabeth Warren dengan 27 mata.

Banyak analisa yang dijalankan sebelum ini berpendapat bahawa Donald Trump akan kehilangan sokongan yang banyak selepas dibicarakan samada di Kongres mahupun Senat namun apa yang disaksikan oleh ramai penganalisa politik saat ini, sokongan terhadap Donald Trump meningkat dengan mendadak sekali walau dengan pelbagai bukti didedahkan dan dipanggil ramai saksi ketika perbicaraan terutamanya di Kongres.

Dengan peningkatan sokongan dan pengaruh Donald Trump saat ini dikalangan rakyat Amerika Syarikat, berkemungkinan besar Donald Trump akan memenangi pilihanraya Presiden akan datang.

Kemenangan itu juga jika benar–benar berlaku adalah petanda buruk kepada Palestin dan keseluruhan Dunia Islam. Dunia berkemungkinan akan terus bergolak dan berkemungkinan besar akan bertambah buruk lagi. Iraq, Syria, Yemen, Palestin dan Libya mungkin akan sukar untuk mencapai keamanan jika Donald Trump masih lagi Presiden Amerika Syarikat dan meneruskan polisi–polisinya yang tidak adil.

Dunia Islam harus sedar, masanya sudah tiba untuk bangkit kembali dan menentukan nasib Dunia Islam sendiri. Musuh–musuh Islam hanya melakukan tipu daya untuk memecah–belahkan kesatuan Dunia Islam dan mengaut keuntungan serta hasil yang ada kemudian meninggalkannya begitu begitu saja.

Dunia Islam harus menentukan haluan dan nasibnya sendiri, kegemilangan Dunia Islam pasti akan datang jika bersatu padu dan berkerjasama kerana itulah yang ditakuti oleh musuh–musuh Islam. Kuatnya perpaduan Dunia Islam maka akan hancurlah musuh Dunia Islam.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi,
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat. – ADUN Batu Burok. – HARAKAHDAILY 16/2/2020