Terima kasih Menteri Ekonomi lawat T’ganu

SAYA selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu merasa cukup berbesar hati dan berterima kasih atas kunjungan ke Kuala Terengganu, YB Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan kehadiran yang dikasihi oleh seluruh rakyat Terengganu YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah sudi melawat dan meninjau pembangunan dan pelbagai keperluan di Kuala Terengganu.

YAB DS Dr Ahmad Samsuri telah menemani YB DS Azmin melawat Drawbridge sambil menerangkan permasalahan dan usaha Kerajaan Terengganu untuk memanfaatkan apa yang ada supaya KTCC yang agak lama belum kelihatan pelaksanaan pelaburan fizikal diusahakan segera dengan kerjasama Persekutuan khususnya ECER.

Bulan lalu saya hadir di Taklimat Pembangunan KTCC kepada YAB MB oleh CEO ECER, En Baidzawi Che Mat yang antara lain memuktamadkan beberapa isu penting KTCC. Dalam rancangan tahun ini, beberapa pembangunan misalnya Promenade akan menjadikan sekitar Drawbridge dan KTCC lebih menarik dan menjadi tarikan besar untuk pengunjung dalam dan luar negara.

Kunjungan ke Pasar Payang adalah penting. Saya menyatakan harapan supaya bila Pasar Kedai Payang baru yang sedang dibina siap nanti, Pasar Payang sementara Payang 2 ini hendaklah kekal sebagai ruang niaga dan tidak perlu dikosongkan untuk dijadikan Convention Centre seperti yang ada dicadangkan sesetengah pihak.

Menjadi aspirasi rakyat Kuala Terengganu agar keberadaan (presence) kelompok peniaga dan penjaja Melayu diperkembang dan dibesarkan lagi di tengah-tengah Bandar raya Kuala Terengganu ini dengan menjadikan Kompleks Pasar Kedai Payang sekali ganda lebih besar berbanding saiznya yang asal dengan menambah saiz keluasan Kompleks Pasar Payang dengan memasukkan Payang 2 dan Pasar baru yang sedang dibina.

Jika Payang 2 dijadikan Pusat Konvensyen, keluasan tapak orang Melayu ini sama sahaja dan tidak berubah seperti dulu setelah siri pengambilan tanah orang Melayu yang banyak yang menghilangkan lokasi yang iconic tempat orang Melayu berniaga di Ladang Tok Pelam, Tanjung, Kedai Binjai, Lorong Hj Jamil.

Selain tidak sesuai pusat Konvensyen di tepi pasar yang sudah sangat sesak lalu lintasnya yang isu ini juga perlu dicari jalan penyelesaian traffic dan parking.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 15/2/2020

Advertisement