Pemuda mesti sedia berkorban, menangkan Islam!

BAGAN SERAI: Semangat juang Saidina Ikrimah R.A sewajarnya menjadi teladan kepada para Pemuda PAS dalam mendepani cabaran dan tekanan perjuangan untuk menegakkan syariat Allah S.W.T di zaman ini.

Advertisement

Memetik sirah Sahabat Rasulullah S.A.W itu, Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menyingkap perjuangan anak muda yang merupakan anak kepada pemimpin utama Musyrikin Makkah.

Jelasnya, anak kepada Abu Jahal yang amat memusuhi Nabi dan Islam itu sanggup meninggalkan kedudukan dan pangkat semata-mata untuk bersama perjuangan Islam pimpinan Rasulullah kerana dapat membezakan antara hak dan batil.

Kupasan tersebut diutarakan beliau dalam ucapan di Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) Negeri Perak 3.0 yang berlangsung di Dewan Abdul Wahab Nor, Markas PAS Kawasan Bagan Serai, Masjid Tinggi, di sini semalam.

“Anak muda yang cintakan Allah dan berikrar untuk berjuang mempertahankan agama perlulah menjaga solat, memperbanyakkan ibadah serta menjaga hubungan dengan Allah agar mendapat nusrah daripada-Nya.

“Pengorbanan dipamerkan Ikrimah yang meninggalkan kesenangan hidup dan kedudukan yang tinggi seharusnya menjadi dorongan serta motivasi buat para Pemuda untuk istiqamah dalam perjuangan,” serunya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, kebangkitan anak muda sememangnya amat dinantikan bagi merealisasikan kemenangan Muafakat Nasional, sekali gus menumbangkan Kerajaan PH di Perak pada PRU15.

Namun peringat beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol, kebangkitan tersebut mesti dilakukan gemblengan di semua peringkat dengan anak muda diseru untuk bersama PAS dan Umno bagi mencapai tujuan tersebut.

Turut berucap bersama beliau adalah Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad yang menyeru anak muda menentukan masa depan Malaysia kerana golongan itu mewakili 60 peratus pengundi.

Berlangsung sempena program ini adalah Majlis Tahlil Perdana dan Solat Hajat yang dipimpin Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah. – HARAKAHDAILY 16/2/2020