20 prinsip yang perlu difahami (Siri 2)

SEBELUM ini saya telah menulis kefahaman mudah bagi 10 prinsip yang pertama bagi prinsip 20 yang diambil daripada kata-kata Imam Hassan al Banna.

Justeru, artikel kali ini sebagai sambungan daripada artikel lepas.

(11) Memahami erti bidaah yang sesat.

Kita hendaklah memahami bahawa semua bidaah yang tiada asas syarak adalah munkar yang wajib dibanteras. Bidaah yang sesat ini dilakukan diper’indah’kan oleh manusia dengan nafsu mereka.

Bentuk bidaah yang sesat itu, sama ada dengan cara menambah-nambah atau mengerat-ngerat apa yang sedia ada dalam Islam. Hal ini perlu kita ketahui dan faham.

Bidaah seperti ini wajib ditolak dan dihapuskan dengan cara yang paling baik sehingga tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bidaah itu sendiri.

(12) Memahami erti bidaah yang dibenarkan.

Kita hendaklah memahami bahawa bidaah dalam konteks yang dibenarkan, dilakukan sama ada sebagai nilai tambah, atau tidak melakukan sesuatu, melazimi ibadah tertentu adalah khilaf fiqh sahaja.

Setiap individu mempunyai pendapat yang tersendiri, maka tiada halangan untuk ia mencari pengertian melalui dalil dan bukti

(a) Bidaah yang dilakukan sebagai nilai tambah seperti berzikir beramai-ramai selepas solat.

(b) Manakala bentuk tidak melakukan sesuatu pula seperti tidak berkahwin kerana terlalu sibuk menuntut ilmu.

(c) Melazimi ibadah tertentu pula seperti bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat.

Maka, kita perlulah menghormati amalan-amalan tertentu selagi mana ia ada asasnya dalam agama. Bahkan mereka yang mengamalkan amalan-amalan tertentu mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah S.W.T.

(13) Memahami erti wali Allah dan karamah.

Kita hendaklah memahami bahawa mengasihi orang-orang soleh, menghormati dan memberi pujian terhadap amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Para wali Allah S.W.T ialah mereka yang disebut oleh Allah S.W.T:

Advertisement


ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ یَتَّقُونَ

“Orang-orang yang beriman dan mereka itu bertakwa.”

(Yunus: 63)


Keramat berlaku pada mereka dengan syarat ia bertepatan dengan syariat. Sekiranya sesuatu yang didakwa keramat itu bercanggah dengan syariat, maka ia tertolak.

Kita juga perlu berpegang bahawa wali Allah tidak mampu memberi manfaat, mahupun mudharat terhadap diri mereka mahupun orang lain, sama ada ketika mereka hidup, ataupun sudah mati. Yang berkuasa hanyalah Allah S.W.T semata-mata.

(14) Memahami amalan sesat hari ini dan menolak alasan membenarkannya.

Kita hendaklah memahami bahawa menziarahi kubur adalah sunnah yang disyariatkan dengan kaedah yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.

Akan tetapi, meminta tolong dengan ahli kubur adalah bidaah, bahkan dosa besar yang perlu ditolak. Contohnya seperti menyeru roh ahli kubur atau bernazar kepada mereka.

Ataupun membuat binaan yang seolah-olah memuja mereka, mengelambuinya, meneranginya dengan lampu, memperluaskannya, bersumpah dengan nama-nama mereka dan sebagainya.

Tiada ruang bagi kita, beralasan dalam amalan-amalan sesat seperti ini demi menutup pintu kemungkaran. Bertawassul dibenarkan, tetapi meminta kepada ahli kubur adalah dilarang.

(15) Memahami perbezaan antara amalan dan perbuatan syirik.

Kita hendaklah memahami bahawa doa yang dipohon kepada Allah S.W.T dengan cara bertawassul melalui makhlukNya adalah termasuk dalam masalah khilafiah, dari segi kaifiat doa tersebut. Bahkan ia tidak termasuk dalam masalah aqidah.

Bertawassul adalah doa yang dipohon kepada Allah S.W.T melalui orang-orang soleh atau amalan-amalan mereka. Maka ia jelas berbeza dengan doa yang dipohon (meminta) kepada ahli kubur, kerana perbuatan ini adalah syirik.

Maka, kita perlu beramal sepertimana kaedah yang diajar oleh Baginda S.A.W dan kaedah tersebut pelbagai. Kita juga perlu mengelakkan diri daripada menyamakan amalan tersebut dengan perbuatan syirik.

(16) Memahami perkara yang diharamkan walaupun ia menjadi kebiasaan.

Kita hendaklah memahami bahawa perkara yang sudah menjadi kebiasaan sedangkan ia adalah salah, tidak akan merubah lafaz-lafaz syariat yang mengharamkannya.

Bahkan ia wajib dipastikan maknanya yang sebenar dan maksud daripada lafaz tersebut. Contohnya membuka aurat yang sudah dianggap perkara biasa, sedangkan ia tetap diharamkan oleh Allah S.W.T.

Kita juga sepatutnya berpegang dengan maknanya yang sebenar dan maksud daripada Firman Allah S.W.T yang mengharamkan pendedahan aurat, contohnya.

Begitu juga riba yang sudah dianggap biasa, sedangkan ia kekal haram. Tidak dibenarkan mengubah makna ayat al-Quran, semata-mata untuk membenarkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

(17) Memahami hakikat amalan dan menyempurnakannya.

Kita hendaklah memahami bahawa akidah adalah asas sesuatu amalan. Amalan pula terbahagi kepada dua, iaitu amalan hati dan amalan anggota.

Amalan hati adalah lebih mulia daripada amalan anggota. Contoh amalan hati ialah sabar, redha dan sebagainya yang bertujuan membersihkan hati. Amalan anggota pula ialah solat, zakat dan sebagainya.

Kedua-dua amalan ini dituntut. Melakukan kedua-dua ini merupakan tuntutan syarak. Oleh itu, kita hendaklah menyempurnakan kedua-dua amalan ini sekalipun ia berbeza martabat tuntutannya.

Akidah adalah teras kedua-dua amalan ini. Kita perlulah melengkapkan diri dengan kedua-dua amalan ini seiringan, tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

(18) Memahami kedudukan ilmu dan ulama’, serta memberi manfaat kepada orang lain.

Kita hendaklah memahami bahawa Islam membebaskan akal, menggalakkan pengamatan dan pemikiran terhadap penciptaan alam sekitar.

Islam juga memartabatkan kedudukan ilmu dan ulamak, serta menggalakkan amalan kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri, dan orang lain.

Nabi S.A.W bersabda;


الكلمة الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها

“Hikmah itu adalah suatu yang hilang daripada orang beriman. Maka, sesiapa yang menemuinya, dialah yang berhak memilikinya.”

(Riwayat at-Tirmizi)


Kadangkala, kita menemui sains daripada Barat, dan janganlah kita menolaknya. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam, maka gunakanlah.

Kita juga mengenali perubatan daripada Barat, maka ia juga menjadi keperluan untuk kita mempelajarinya. Tetapi, ilmu agama adalah utama, dan belajarlah ilmu agama dengan orang yang beragama Islam.

Maka, kita perlu menghormati ulamak, dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan diri sebagai seorang yang memberi manfaat kepada orang lain.

(19) Memahami keutamaan syariat dan keselariannya dengan akal.

Di sana wujudnya pandangan syarak yang tidak termasuk dalam teori akal (sains), begitu juga sebaliknya.

Jika dalil syarak dan teori akal kedua-duanya adalah jelas dan benar, maka kedua-duanya sama sekali tidak akan berlaku pertentangan.

Pekara yang masih samar-samar sama ada dari pandangan syarak atau teori akal mestilah diperjelaskan ke arah menepati hakikat yang telah pasti kebenarannya.

Sekiranya kedua-duanya itu masih berada di peringkat dzon الظن, maka pandangan syaraklah yang lebih utama untuk diterima. Hinggalah tadi akal dapat disahkan kebenarannya ataupun ia tertolak dengan sendirinya

(20) Memahami perkara-perkara yang boleh membawa kepada kekafiran dan pengkafiran.

Kita hendaklah memahami bahawa kita tidak boleh mengkafirkan seorang Muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutannya dan menunaikan perkara fardhu, walaupun dia melakukan maksiat.

Larangan mengkafirkan ini terkecuali pada salah satu daripada perkara ini;

(a) Berikrar dengan mana-mana bentuk atau kalimah kekufuran seperti mengaku kafir dan sebagainya.

(b) Mengingkari sesuatu yang pasti ada dalam agama, seperti mengingkari kewajipan solat, mengingkari pengharam zina dan sebagainya.

(c) Menafikan ayat al-Quran yang terang dan jelas seperti mengingkari kenabian Nabi-nabi Allah S.W.T, dan sebagainya.

(d) Menafsirkan al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub Bahasa Arab dalam semua keadaan.

(e) Melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur.

Maka, kita perlu menghindarkan diri daripada unsur-unsur kekafiran, dan menjauhkan diri daripada mengkafirkan orang lain sewenang-wenangnya.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/2/2020