Al-Kahfi: Pendirian yang longgar di akhir zaman

GEJALA murtad

(1) Nabi S.A.W bersabda;

Advertisement


بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا.

“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.”

(Riwayat Muslim)


(2) Hadis ini menggambarkan situasi akhir zaman berkaitan penyakit yang melanda manusia. Ramai ulamak yang menghuraikan hadis ini di dalam kitab-kitab mereka.

Rata-rata mengaitkan hadis ini dengan gejala murtad yang semakin meluas. Seolah-olah akhir zaman menyaksikan manusia mula hilang kepercayaan kepada Islam.

(3) Bahkan manusia mula meninggalkan Islam. Banyak faktor yang kita boleh jangkakan pada hari ini. Antaranya faktor serangan pemikiran yang mempertikaikan logik Islam.

(a) Sekularism pula awal-awal lagi menggambarkan Islam itu hanya sekadar ‘religion’. Menyebabkan orang-orang Islam tidak melihat Islam sebagai sistem, hanya sekadar ritual.

(b) Golongan Pluralism pula menggambarkan Islam sama sahaja seperti agama-agama lain. Sekadar kepercayaan, dan tidak dianggap sebagai sistem hidup.

Inilah gambaran akhir zaman yang hari ini kita menyaksikannya. Gejala murtad berleluasa tanpa kekangan. Bahkan masing-masing cuba menafsirkan Islam mengikut andaian masing-masing.

Masing-masing mendakwa ada dalil

(1) Hadis tadi juga menggambarkan bagaimana manusia hari ini berdepan dengan masalah kegoyangan akidah, dan kelonggaran prinsipnya. Banyak faktor yang menyumbang ke arah ini.

Masyarakat yang berubah-ubah pendirian. Tergoncangnya prinsip hidup. Kebenaran terkeliru. Ramai juga yang tak mengenal diri sendiri apatah lagi nak mengenal Tuhan.

(2) Golongan yang berubah-ubah pendirian ini ialah mereka ‘menjual agama’ يبيع دينه بعرض من الدنيا. Menggadaikan prinsip agamanya kerana mengejar habuan dunia.

Ataupun mereka yang menjual agama untuk meraih pengaruh populis. Hari ini penyakit ini semakin membarah di kalangan orang Islam. Masing-masing mendabik dada mempunyai dalil.

(3) Mereka yang menolak politik mereka dakwa ada dalil. Mereka yang tolak kewajipan berjemaah, mereka dakwa ada dalil. Mereka menolak Undang-undang Islam, mereka dakwa ada dalil.

Hari ini masing-masing mendakwa berada di atas kebenaran kerana masing-masing kata punyai dalil. Umat Islam berpecah. Masing-masing mendakwa mampu berijtihad.

(a) Yang tak pernah mempelajari ilmu agama, cuba mendakwa dirinya memiliki makrifat dan memperolehi ilmu laduni. Lalu mereka berhujah dengan ayat al-Quran kisah Nabi Khidir.

(b) Yang tak rajin pakai tudung, cuba mendakwa dirinya memahami Islam ‘yang sebenar’ dengan mengatakan bahawa tudung hanya tradisi Arab.

Kemunculan golongan ‘makan keliling’


(1) Imam Nawawi R.A menghuraikan hadis ini menyatakan;

معنى الحديث الحث على المبادرة إلى الأعمال الصالحة قبل تعذرها والاشتغال عنها بما يحدث من الفتن الشاغلة المتكاثرة، المتراكمة كتراكم ظلام الليل المظلم لا المقمر، ووصف صلى الله عليه وسلم نوعاً من شدائد تلك الفتن، وهو أن يمسي مؤمناً ثم يصبح كافراً أو عكسه، وهذا لعظم الفتن، ينقلب الإنسان في اليوم الواحد هذا الانقلاب

“Makna hadis ini ialah satu galakan supaya bersegera untuk beramal, sebelum mengalami kekangan untuk melaksanakannya berdasarkan apa yang terjadi seperti ujian yang menyibukkan dan berganda-ganda, yang diselubungi kegelapan malam yang menggelap, tanpa cahaya bulan. Bahkan Nabi S.A.W menyifatkan ia sebagai salah satu kepayahan fitnah ujian tersebut, ialah seorang yang beriman pada petang hari boleh menjadi kafir pada subuh esoknya ataupun sebaliknya. Ini disebabkan dahsyatnya ujian ini, yang membolak-balikkan manusia dalam satu hari.”


(2) Apa yang digambarkan oleh Imam Nawawi R.A ini ialah situasi manusia yang mudah berubah pendirian. Disebabkan fitnah yang semakin dahsyat.

Justeru, Baginda S.A.W menggesa supaya beramallah segera, bimbang apabila fitnah itu tiba, kita akan sibuk berhadapan dengan ujian tersebut.

(3) Antara faktor manusia itu berubah pendiriannya ialah menggadaikan Islam dengan habuan dunia. Membeli dunia, dibayar dengan prinsip agama.

Gambaran umat akhir zaman yang meringan-ringankan prinsip agamanya. Umat Islam tidak mencegah kemungkaran atas sebab bimbang hilang kedudukan.

Umat Islam menyokong kezaliman dengan meraih atau melobi projek-projek. Menukar-nukar pendiriannya asalkan boleh ‘makan keliling’.

Amalan yang sia-sia

(1) Allah S.W.T berfirman;


قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِینَ أَعۡمَـٰلًا ۝ ٱلَّذِینَ ضَلَّ سَعۡیُهُمۡ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَهُمۡ یَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ یُحۡسِنُونَ صُنۡعًا ۝ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103) (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. (104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (105) . (2) Syed Qutb menghuraikan ayat 103 apabila Allah S.W.T menyatakan; . *“Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?”

الذين لا يوجد من هم أشد منهم خسراناًالذين لا يوجد من هم أشد منهم خسراناً؟ { الذين ضل سعيهم في الحياة الدنيا } فلم يؤد بهم إلى الهدى ، ولم ينته بهم إلى ثمرة أو غاية : { وهم يحسبون أنهم يحسنون صنعا } لأنهم من الغفلة بحيث لا يشعرون بضلال سعيهم وذهابه سدى ، فهم ماضون في هذا السعي الخائب الضال ، ينفقون حياتهم فيه هدراً . .

“Maksudnya tiada orang lain yang lebih rugi daripada mereka, {Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini 104}”

“Kerana usaha-usaha itu tidak membawa mereka kepada hidayah, dan tidak membawa mereka kepada sesuatu faedah atau matlamat”

“{Sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan 104}”

“Oleh sebab mereka terlalai, mereka tidak sedar bahawa usaha-usaha mereka sia-sia dan hilang percuma. Mereka terus melakukan usaha-usaha yang sia-sia dan sesat itu dan menghabiskan masa hidup mereka dengan percuma.”


Umpama perut yang kembung

(1) Syed Qutb menyatakan lagi;


قل هل ننبئكم من هم هؤلاء؟

“Katakanlah apakah kamu mahu kami menerangkan kepada kamu siapakah gerangan orang orang itu?”


Allah S.W.T berfirman;


أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا

“Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.”(105)


(2) Di dalam ayat 105 ini, al-Quran menggambarkan bahawa mereka yang sia-sia amalannya di dunia dengan perkataan فحبطت أعمالهم, yang diterjemahkan dengan “gugurlah amal-amal mereka”.

(3) Syed Qutb R.A di dalam Fi Zhilal al Quran menghuraikan perkataan فحبطت :


وأصل الحبوط هو انتفاخ بطن الدابة حين تتغذى بنوع سام من الكلأ ثم تلقى حتفها . . وهو أنسب شيء لوصف الأعمال . . إنها تنتفخ وأصحابها يظنونها صالحة ناجحة رابحة . . ثم تنتهي إلى البوار!

“Asal kata (حبطت) bererti penyakit kembung perut yang dihidapi binatang ternakan apabila ia termakan sejenis rumput yang beracun, dan penyakit ini boleh membawa maut kepada binatang itu. Kata-kata ini amat sesuai untuk menggambarkan amalan-amalan yang sia-sia. Ia kelihatan kembung dan mengelembung besar menyebabkan para pelakunya menyangka bahawa amalan-amalan itu benar-benar baik, berjaya dan menguntungkan tetapi tiba-tiba akhirnya ia membawa kepada kebinasaan”.


Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/2/2020