Jangan cabul Hutan Rizab Kuala Langat!

AMAT sedih bila mendengar luahan Tok Batin perihal Hutan Simpan Kuala Langat Utara dimasukkan dalam pelan untuk dijadikan pembangunan campur. Bertambah marah lagi apabila cadangan ini akan  mencabul alam semulajadi yang berbaki sedikit di era global kini.

Advertisement

Antara kepentingan Hutan Simpan di Selangor dan di Kuala Langat khususnya adalah bagi menjaga ekosistem flora dan fauna. Selain menjadi pengimbang sumber oksigen dan penyerap karbon dioksida.

HSKLU merupakan kawasan penebat banjir semulajadi dengan bentuk tanah paya gambut yang berupaya menyerap air sekiranya hujan lebat dan mampu mengurangkan risiko berlakunya banjir yang buruk

Bayangkan sekiranya 97.2 peratus hutan bakal ditebang dan hanya berbaki 2.8 peratus Berkemungkinan bah besar bakal berlaku dan menenggelamkan sebahagian besar kawasan sekitar.

Dewan Pemuda PAS Kuala Langat (DPPKL) meluahkan rasa marah dan kecewa dengan cadangan untuk memansuhkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 930 Hektar. Kami tidak melihat ia adalah bertujuan untuk kepentingan awam atau rakyat, dan amat bimbang andai ia adalah demi kepentingan pihak tertentu.

DPPKL amat mengharapkan agar bantahan ini disambut oleh semua lapisan masyarakat demi kelangsungan ekosistem dan penebat banjir semulajadi. Kesan buruk bakal melanda sekiranya masyarakat dan pihak berwajib tidak memandang serius akan hal ini. Kerosakan geografi muka bumi yang tidak seimbang dan mengakibatkan penempatan orang asal serta hidupan lain akan terjejas.

Sebagai makluman, 1 ekar tanah yang berpokok mampu menampung dan mengitar semula 2.6 tan karbon dioksida setahun, inikan pula 2,298 ekar tanah berpokok.

Bagi membantah cadangan ini, DPPKL akan berusaha mengumpulkan tandatangan penduduk Kuala Langat dengan mengadakan jerayawara (roadshow) serta menghantar bantahan ke Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. In shaa Allah..

HANIF JAMALUDDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kuala Langat – HARAKAHDAILY 17/2/2020