Memperkasa usahawan wanita di Terengganu

HARI ini kita boleh melihat usahawan dalam kalangan wanita saban hari semakin bertambah khususnya di Terengganu. Pertambahan ini bagai cendawan tumbuh melata selepas hujan.

Jika dahulu anak-anak perempuan diasuh dan dididik supaya mahir dalam urusan rumah tangga. Sekarang wanita mahupun pelajar di bangku sekolah mempunyai kesedaran dan motivasi yang tinggi untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Malah ada juga suri rumah sepenuh masa, dan isteri yang bekerja menjadikan bidang keusahawanan ini sebagai sumber untuk mendapat duit poket lebih bagi memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Boleh bayangkan betapa gigihnya seorang wanita yang seharian bertungkus lumus memerah keringat membahagikan masa antara tugas sebagai suri rumah tangga dan menguruskan perniagaan.

Tulusnya hati seorang isteri bekerja kerana mahu membantu suami meringankan beban kewangan yang semakin meningkat saban hari.

Kini ramai wanita yang merebut peluang di media sosial dengan menjalankan perniagaan secara online sebagai langkah awal dan mudah meraih keuntungan bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Jika dilihat pada awal-awal dahulu keusahawanan ini lebih tertumpu kepada kecantikan dan pakaian. Namun lama-kelamaan bidang ini makin berkembang mengikut peredaran dan kehendak masyarakat semasa yang mewujudkan kekreatifan dan inovatifnya para usahawan.

Bagi menghargai usaha wanita yang berusaha meningkatkan taraf ekonomi, Terengganu telah memperuntukkan RM2 juta untuk Tabung Siti Khadijah (TSK). Dan menawarkan pinjaman kepada rakyat yang memerlukan modal perniagaan iaitu Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) dan Skim Pinjaman Bisnes Online.

Pesanan kepada semua usahawan wanita Terengganu agar berniagalah mengikut syariat Islam, niatkan kerana Allah dan untuk mengikut sunnah Rasulullah. Serta jadikan Sayyidatina Khadijah sebagai ikon usahawan wanita.

Kak Da mendoakan semua usahawan wanita di Terengganu terus maju jaya dalam meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Terus Maju Wanita Terengganu”

Ingatan tulus ikhlas,

YB ZURAIDA MD NOOR,
ADUN Wanita Terengganu – HARAKAHDAILY 17/2/2020

Advertisement