Pemandu mabuk: Tutup segala punca, tingkat hukuman

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang serius insiden kemalangan yang berpunca dari pemandu mabuk yang saban hari semakin membimbangkan apabila kedengaran kemalangan yang berlaku semakin kerap ditambah lagi korban nyawa yang turut berlaku.

Advertisement

DPPNS sangat konsisten dengan panduan Islam apabila isu mabuk yang berpunca dari arak atau apa sahaja minuman yang memabukkan adalah sangat bahaya dan besar mudaratnya. Ia tidak hanya kesan negatif ke atas diri pemabuk malah mengakibatkan kepada orang di sekeliling yang tidak bersalah turut menjadi mangsa korban dalam kemalangan yang berpunca dari mabuk tersebut. Kemudaratan arak ini telah jelas diperingatkan oleh Allah SWT dengan amaran menerusi firman-Nya :

۞ یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِۖ قُلۡ فِیهِمَاۤ إِثۡمࣱ كَبِیرࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَاۤ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
(al-Baqarah 219)

Kegagalan mengatasi isu pemandu mabuk ini akan lebih membahayakan nyawa pengguna jalan raya khususnya. Berapa banyak insiden mabuk ini yang terjadi yang jelas sepatutnya menjadi keutamaan pihak kerajaan memberikan fokus utama berbanding dengan penguatkuasaan kerusi keselamatan bayi?

Tidak dinafikan bahawa penguatkuasaan kerusi keselamatan bayi mempunyai faedah dan manfaatnya namun sikap kerajaan yang dilihat agak tidak serius dalam isu kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk menjadi pertikaian yang boleh sahaja dilihat dari reaksi masyarakat awam. Di sinilah pentingnya fiqh muwazanat atau pertimbangan dalam mendahulukan sesuatu perkara yang sudah jelas kemudaratannya berbanding sesuatu yang berada pada tahap jangkaan sahaja.

DPPNS menyokong usaha dalam mempertingkatkan hukuman ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan sebagai pengajaran atas kesalahan yang dilakukan. Namun dalam masa yang sama, DPPNS menegaskan bahawa punca kepada isu ini ialah kerajaan mestilah :

i.    Menutup segala kelab malam yang ada dan tidak perlu lagi kewujudannya sekalipun secara berlesen. Ia punca pemabu balik lewat malam dalam keadaan mabuk kerana berhibur sambil bermabuk.

ii.   Memperkasakan info penerangan mengenai kesalahan yang melibatkan arak dan kesan mabuk dengan hukuman yang diperuntukkan.

iii.  Mengkaji semula kilang pembuatan arak di Shah Alam untuk diperketatkan pembuatan arak dan pengedaran arak yang dilihat sangat meluas. Sedangkan penganut bukan Islam adalah minoriti rakyat dan bukan semua bukan Islam yang meminum arak.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 17/2/2020