1,300 sertai PAS, tak percaya lagi PH

SIBU: PAS Negeri Sarawak menyambut baik keputusan 1,300 penyokong PH di Beting Maro yang menyertai PAS kelmarin dahulu ekoran berasa tertipu dengan janji PH dan sikap tidak ambil peduli pemimpin PH setelah menguasai Putrajaya.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin berkata, kesan dari penghijrahan penyokong PH kepada PAS, kompenan PH di sini dilihat tidak lagi relevan oleh penduduk Beting Maro kerana hanyalah menjadi boneka DAP bagi memecah belahkan masyarakat Melayu di sini.

Menurutnya, tindakan penyokong PH menyertai PAS telah membuktikan bahawa PAS semakin berpengaruh dan diterima baik oleh penduduk Sarawak.

“Dengan pendekatan turun padang dan penerangan yang baik ditambah pula kerjasama politik Muafakat Nasional antara BN dan PAS menyebabkan PAS Sarawak dilihat sangat berpengaruh dan penting dalam lanskap politik di sini.

“Walaupun PH Sarawak yang dikuasai DAP seringkali menyerang dan membuat tohmahan yang tidak berasas kepada PAS serta acap kali mengaitkan sentimen agama dan bangsa bagi tujuan melemahkan PAS, sebaliknya rakyat Sarawak membuktikan sepertimana yang berlaku di Beting Maro.

“Justeru PAS Sarawak akan terus bergerak mendekati penduduk dengan memberi pendidikan politik secara budaya matang dan sejahtera serta membantu menyelesaikan masalah rakyat yang sekian lama di tindas,” ujarnya.

Katanya, usaha ini akan diteruskan sehingga rakyat Sarawak memberi kepercayaan kepada PAS untuk bersuara dan mewakili mereka di sidang DUN Sarawak yang akan datang. – HARAKAHDAILY 18/2/2020