Anwar VS Mahathir: Mana satu pilihan rakyat?

Peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri

DALAM kita menghadapi kemelut ketidaktentuan peralihan kuasa PM yang khabarnya mahu dimuktamadkan kalangan pimpinan kanan PH Jumaat ini, persoalan siapa sebenarnya yang rakyat mahu sebagai PM cukup menarik.

Pilihan yang ada ketika ini hanyalah dua iaitu antara Tun Dr Mahathir atau Anwar Ibrahim. Para pentaksub Anwar khasnya dalam PKR, sekutunya DAP dan terompah DAP iaitu PAN sudah pasti bermatian mahukan Anwar mengambil alih dari Tun.

Kelompok pendesak pro Anwar mahukan peralihan seawal Mei 2020 manakala Anwar sendiri bersedia menunggu sehingga selesai Persidangan APEC di KL hujung tahun ini.

Tetapi yang pro Tun khasnya dari Bersatu sendiri dan PKR pro Azmin mahukan Tun kekal hingga ke penghujung penggal. Mereka diyakini akan disokong Warisan serta blok pembangkang selain GPS dari Sarawak. Lantas siapakah sebenarnya yang rakyat mahu?

Di sinilah kajian Merdeka Centre berjudul ‘Malaysia Political Developments and Trajectories Update January 2020’ cukup berguna sebagai panduan dan rujukan.

Kajian mereka dilakukan sekitar November 2019 dan menariknya ia menjurus kepada pilihan yang dimaksudkan iaitu antara Tun dan Anwar sebagai PM.

Antara soalan yang dilontarkan dalam kajian ini, manakah kenyataan yang rapat dengan pandangan anda? Dan soalannya (serta jawapan):

(1) Wajarkah Tun letak jawatan serta-merta?
25 peratus setuju.

(2) Wajarkah Tun letak jawatan Mei 2020?
25 peratus setuju.

(3) Wajarkah Tun kekal PM hingga PRU15?
41 peratus setuju.

Dari sini sahaja kita dapat melihat betapa rakyat lebih selesa dengan Tun dan mahukan beliau kekal PM daripada dilakukan perubahan separuh penggal.

Kemudian Merdeka Centre turut membuat perbandingan antara Tun dan Anwar sebagai PM ikut pilihan berdasarkan kaum.

(1) Responden Cina:
20 peratus mahukan Tun 58 peratus mahukan Anwar

(2) Responden India:
18 peratus mahukan Tun 62 peratus mahukan Anwar

(3) Responden Melayu:
58 peratus mahukan Tun 13 peratus mahukan Anwar

Ini bermakna orang Melayu terus menyokong Tun manakala Anwar cuma didukung masyarakat minoriti bukan Melayu.

Dan secara keseluruhannya masyarakat Malaysia 42 peratus mahukan Tun sebagai PM berbanding cuma 32 peratus yang cenderung pada Anwar.

Berdasarkan kajian ini kita dapat melihat rakyat Malaysia sesungguhnya tidak inginkan peralihan kuasa separuh penggal. Dan malah demi kestabilan negara mereka rela Tun terus memimpin negara sehingga PRU ke 15.

Mungkin tindak-tanduk dan aktiviti Anwar sebelum ini telah meninggalkan kesan yang mendalam buat rakyat sehingga mereka sukar menerimanya.

Oleh itu jangan sampai individu yang tidak disokong rakyat naik berkuasa dalam negara. Biarlah status quo yang ada ini kekal dan biar semua pihak memberi fokus pada memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan buat rakyat dan negara.

Yang penting nasib dan masa depan semua terbela dan terpelihara.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/2/2020

Advertisement