Batalkan kontrak Motorola, waspada risiko risikan Israel

KERAJAAN wajib mengkaji semula kontrak yang dibuat bersama pihak Motorola Solutions Malaysia Sdn Bhd (MSMSB) berikutan hubungan syarikat tersebut dengan pihak Israel. Ini berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa syarikat tersebut tersenarai antara perniagaan yang terbabit dalam aktiviti khusus berkaitan penempatan haram Israel di wilayah Palestin.

Advertisement

Langkah ini perlu dalam memperkuatkan lagi penegasan pendirian Malaysia yang mengecam keganasan dan penjajahan dilakukan Israel, sekali gus menyerlahkan sokongan padu kepada Palestin untuk berdiri sebagai negara berdaulat. Ia juga selari dengan kedudukan negara ini yang sama sekali tidak pernah mengiktiraf dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Ia juga perlu sebagai satu bentuk menjana motivasi solidariti sejagat dan memberi mesej pengajaran serta boikot terhadap mana-mana entiti yang secara nyata memberi sokongan kepada Israel. Apatah lagi selepas Amerika Syarikat dan Israel berpadu mengukuhkan cengkaman di Baitulmaqdis dan mengadakan Pelan Damai ‘Deal of the Century’ yang sebenarnya satu penaklukan strategik.

Secara khusus, Kerajaan Malaysia perlu menamatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti bagi peralatan infrastruktur, server, perisian dan radio pengguna sistem Royal Malaysia Police Net (RMPNET). Kerana ia secara tidak langsung turut meletakkan komunikasi pasukan keselamatan negara dalam risiko penyusupan dan risikan pihak tertentu, selain kacau-ganggu.

Dalam satu surat yang terdedah juga menyatakan bahawa kontrak tersebut diberikan secara rundingan terus dengan kelulusan Kementerian Kewangan sebanyak RM56,300,000 daripada RM380 juta yang dipohon menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Hal ini turut mengundang curiga yang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan tindakan sewajarnya.

Kesangsian yang disuarakan mengenainya dengan dakwaan bahawa MSMSB ‘mesra’ dengan pihak atasan KDN dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mesti ditamatkan sekiranya tidak benar. Jika sebaliknya, ia boleh mengundang lebih banyak syak wasangka melibatkan wibawa kredibiliti pasukan penguatkuasa undang-undang negara ini. Imej perlu sentiasa unggul dan cemerlang dari isu-isu seperti ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/2/2020