Hotel TH: Menteri konon ‘Rahmah’, rupanya pemusnah!

BERITA menyedihkan buat umat Islam saat ini ialah berkait penyebaran surat berkenaan penamatan operasi dan perkhidmatan 4 buah hotel milik Tabung Haji iaitu di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Alor Setar dan Kota Kinabalu yang berkuatkuasa pada 1 April 2020. Berikutan penutupan hotel-hotel tersebut juga bermakna pekerja-pekerjanya bakal hilang pekerjaan dan juga mata pencarian.

Advertisement

Antara sebab utama penutupan hotel-hotel tersebut adalah berikutan pengambilalihan aset-aset Tabung Haji yang dikatakan “Non Performing Assets” oleh syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) berikutan pelan penyusunan semula Tabung Haji. Pelan penyusunan semula tersebut menyaksikan Tabung Haji memindahkan aset berjumlah RM9.63 bilion kepada UJSB dan Tabung Haji akan menerima sejumlah RM19.6 bilion dalam bentuk sukuk dan RM300 juta dalam bentuk tunai.

Di antara aset-aset tersebut ialah sebidang tanah seluas 1.568 ekar di TRX, aset perladangan, hartanah dan juga ekuiti. Namun penamatan perkhidmatan dan operasi 4 hotel milik Tabung Haji ini bukan sahaja mengejutkan malah penamatan khidmat pekerja yang berkerja di hotel-hotel tersebut adalah lebih menyedihkan. Apa yang mengejutkan banyak pihak, mengapa pemindahan hotel-hotel tersebut kepada UJSB menyebabkan hotel tersebut terpaksa ditutup dan pekerjanya ditamatkan perkhidmatan?

Terdapat banyak amalan perniagaan sihat yang membabitkan pemindahan aset dari satu syarikat kepada syarikat lain yang tidak memerlukan operasinya ditutup ataupun pekerjanya ditamatkan perkhidmatan melainkan jika ditutup asetnya akan dicairkan atau akan dijual. Di saat keadaan ekonomi tidak menentu baik didalam negara mahupun peringkat antarabangsa, pekerja-pekerja ini semestinya akan merasai keperitan terutamanya apabila Ramadhan mahupun Syawal menjelang tidak berapa lama lagi.

Oleh itu saya mendesak agar Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa agar memberikan penjelasan yang terperinci berkenaan penutupan hotel-hotel tersebut dan bagaimana pula dengan nasib pekerja-pekerjanya. Apakah hotel-hotel tersebut akan dijual kepada pihak ketiga? Oleh satu-satu penjelasan yang terperinci diperlukan agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam tidak gusar dan kecewa dengan keadaan Tabung Haji.

Tabung Haji adalah milik umat Islam. Setiap pendeposit Tabung Haji walau bernilai RM1 berhak mengetahui apa yang berlaku kerana setiap wang malah aset Tabung Haji juga adalah milik mereka. Kita tidak mahu kerisauan dan kegusaran yang sedang bermain difikiran pendeposit Tabung Haji dan juga umat Islam di dalam negara akan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap Tabung Haji.

Kita tidak mahu semakin hari semakin berkurangan aset milik Tabung Haji namun dalam masa sama Tabung Haji tidak berupaya menjana pendapatan untuk menanggung kos operasi, pembayaran hutang dan menjaga kebajikan para pekerjanya akibat daripada penjualan aset-aset ini.

Oleh itu adalah disyorkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat tentang penjualan aset-aset Tabung Haji seperti penjualan beberapa ladang yang diumumkan baru-baru ini. SPRM juga harus menyiasat perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam di dalam negara.

Kita tidak mahu aset-aset ini dijual sewenang-wenangnya tanpa diteliti kewajarannya. Kita tidak mahu pelaburan Tabung Haji rugi dan juga masa depan Tabung Haji tergadai. Selamatkan Tabung Haji, jangan biar Tabung Haji kecundang di tengah jalan.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 18/2/2020