Istilah dan kelebihan ‘Bumiputera’ akan dibuang

PERLEMBAGAAN DAP dan berbagai macam deklarasi DAP menyatakan perjuangan utama DAP adalah untuk “memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”.

Selaras dengan itu, pemimpin-pemimpin DAP sejak dulu hingga sekarang berjuang mati-matian untuk menghapuskan kewujudan istilah ‘Bumiputera’ dalam undang-undang dan dasar negara.

Paling tegar memperjuangkan perkara ini ialah Lim Kit Siang yang antara lainnya menyebut;

(1) Pada 7 Januari 1969: “Negara Malaysia baru kita semua mahu ialah negara di mana ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua kaum dan kelas, di mana tidak ada warganegara-warganegara Malaysia kelas pertama dan kelas kedua dengan memisahkan mereka kepada ‘Bumiputera’ dan ‘bukan-Bumiputera’”.

(2) Pada 25 Januari 1969: “Kita akan terus menekan ke arah kesaksamaan kaum, di mana semua warganegara adalah sama, di mana tidak ada perbezaan di antara ‘Bumiputera’ dan ‘bukan-Bumiputera’”.

(3) Pada 15 dan 20 September 1995: “DAP mendesak pemisahan rakyat Malaysia kepada Bumiputera dan bukan-Bumiputera dihapuskan segera”.

Selepas anak Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, menjadi Setiausaha Agung DAP, perjuangan menghapuskan kewujudan istilah ‘Bumiputera’ ini diteruskan pula oleh Lim Guan Eng yang antara lainnya menyebut pada 10 Disember 2006:

“Perlembagaan Merdeka 1957 mendiskriminasi rakyat Malaysia kepada Bumiputera dan bukan-Bumiputera”.

Begitu juga dengan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang antara lainnya menyebut pada 20 Disember 2002:

“Dr. Mahathir perlu memainkan peranan penting untuk mengkaji semula dasar ‘Bumiputera’ dan ‘bukan-Bumiputera’ serta menghapuskan perbezaan antara kaum di Malaysia”.

Menunggu masa sahajakah golongan Bumiputera yang dilindungi dan diberi keistimewaan oleh dasar dan undang-undang negara untuk melihat kategori ‘Bumiputera’ dan kelebihan mereka sebagai Bumiputera dibuang?

Bagaimanakah nanti nasib golongan Bumiputera di negara ini bila kategori ‘Bumiputera’ dan kelebihan mereka sebagai Bumiputera dibuang?

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 18/2/2020

Advertisement