Isu Hotel TH: Harta, pelaburan, pekerja terancam

KERAJAAN dituntut membentangkan kertas putih berhubung status terkini melibatkan semua aset dan urus tadbir Lembaga Tabung Haji (TH) yang diselubungi pelbagai keraguan atasnya. Ia perlu kerana melibatkan antara kepentingan terbesar umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini. Bahkan ia sebahagian daripada harta negara yang amat bernilai, apatah lagi berkait ibadah.

Advertisement

Pelbagai isu dan polemik berkaitan TH telah menjadi keresahan yang semakin membesar di era pemerintahan PH. Ketika ketidakyakinan tersebut memuncak ekoran pembayaran dividen dan hibah terendah dalam sejarah tahun lalu, PAS antara terpantas memujuk solidariti umat untuk terus mempertahankannya. Tetapi kini ketidakjujuran pihak kerajaan terhadapnya terus melanda dan dicurigai.

Terbaharu, penamatan operasi rangkaian hotel di bawah TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) yang tular, di mana dijawab Menteri Agama sebagai antara langkah pemulihan terhadap aset mengalami kerugian. Namun pemindahannya kepada SPV milik Kementerian Kewangan menjadi ruang terbuka pemilikan umat Islam itu beralih kepentingan kepada orang bukan-Islam.

Selain daripada aset umat Islam yang berisiko dimiliki bukan-Islam, di sana terdapatnya juga para pekerja majoritinya Muslim di mana kini terdedah masa depan mereka kepada spekulasi dan manipulasi. Penamatan operasi THHR juga bermakna para kontraktor Muslim yang selama ini berada dalam skop perkhidmatannya juga bakal terjejas, sekali gus turut beralih perolehan.

Kesan dari keputusan ini dilihat cukup besar yang wajar dilihat sebagai satu ancaman terhadap kepentingan pelaburan dan masa depan umat Islam itu sendiri. Sepatutnya dalam berdepan isu kemerosotan atau masalah kerugian perlu dimulakan dengan langkah penstrukturan urus tadbir. Malangnya dipilih langkah mudah yang seolah-olah bebal dan memangsakan hak umat Islam.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang – HARAKAHDAILY 18/2/2020