Kemelut kes ‘bin Abdullah’ dalam perundangan negara

PADA 13 Februari negara menyaksikan satu keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘Bin Abdullah’. Dengan keputusan majoriti 4-3, Mahkamah Persekutuan telah mengenepikan keputusan oleh Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Julai 2017 yang membenarkan anak tidak sah taraf ‘dibinkan’ kepada bapa biologi.

Secara umumnya penulis bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan anak tidak sah taraf ‘dibinkan’ kepada bapa biologi. Alasan Mahkamah Persekutuan yang pertama: mengambil kira kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri yang memberi kuasa mutlak kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang berkaitan Islam bagi penganut agama Islam termasuk persoalan Undang-undang Personal, Undang-undang Jenayah Islam (setakat bidang kuasa yang diberi) dan juga kesahihan individu itu sebagai seorang Islam.

Memandangkan pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini adalah orang Islam dan berkahwin mengikut Undang-undang Islam di bawah Negeri Johor serta anak yang dilahirkan juga di Johor, maka mereka adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam di Johor.

Mengikut Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 2003, seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh dinisbahkan kepada nama bapa biologi. Oleh itu, tindakan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak membenarkan bapa biologi membinkan anaknya kepada namanya tetapi ‘dibinkan’ dengan ‘Abdullah’ adalah menepati peruntukan undang-undang yang wujud dalam Johor. Lagipun terdapat fatwa di Johor yang tidak membenarkan anak tidak sah taraf ‘dibinkan’ dengan nama bapa biologi. Tetapi sayangnya semasa kes ini dibawa ke muka pengadilan pada tahun 2016, fatwa tersebut belum diwartakan. Fatwa tersebut hanya diwartakan pada 21 Mei 2018. Meskipun begitu, Mahkamah Persekutuan mengambil pendekatan tersirat fatwa anak tidak sah taraf tidak boleh ‘dibinkan’ kepada bapa biologi.

Alasan kedua yang diambil oleh Mahkamah Persekutuan ialah tidak menggunapakai Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 (Akta 229) di mana “Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak sah taraf hendaklah sedemikian itu menjadi nama keluarga mengikut bapa”.

Manakala Seksyen 13A (2) memperuntukkan: “Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak tidak sah taraf di mana ibunya yang melaporkan dan keterangan yang diberi itu adalah bersifat sukarela hendaklah mengikut nama keluarga ibu tersebut, dengan syarat seseorang itu memaklumkan bahawa dirinya adalah bapa kepada anak tersebut mengikut Seksyen 13 memohon nama keluarga tersebut adalah mengikut nama keluarga orang tersebut (bapa)”.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa orang Islam di Malaysia terutama bagi orang Melayu, tidak mengamalkan penggunaan ‘nama keluarga’ (surname). Justeru itu, Seksyen 13A BDRA tidak terpakai ke atas orang Melayu di Malaysia dan tidak boleh diterjemahkan sebagai nama bapa.

Mahkamah Persekutuan turut memutuskan bahawa nama keluarga (surname) adalah satu tambahan maklumat dan bukannya satu kemestian. Sekiranya pemohon mempunyai nama keluarga (surname). Ianya boleh dimasukkan. Malahan Seksyen 13A tidak mendiskriminasi antara orang Islam dan bukan Islam tetapi mendiskriminasi antara seseorang yang mempunyai nama keluarga (surname) atau tidak. Tambahan pula, penggunaan nama dan nama keluarga (surname) sangat berbeza dan ini tidak diulas oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini. Justeru itu, KP JPN hendaklah mengeluarkan nama ‘bin Abdullah’ dalam surat beranak anak tersebut.

Alasan ketiga: Mahkamah Persekutuan mempertikaikan pemakaian Fatwa Kebangsaan yang mensyaratkan anak tidak sah taraf bagi orang Islam ‘dibinkan dengan Abdullah’ seperti yang diterimapakai oleh Ketua Pengarah (KP) JPN yang berpandukan kepada dua fatwa Mufti atau Ulamak yang mahir dalam Perundangan Islam. Secara umumnya, Undang-undang Islam memperuntukkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh ‘dibinkan’ dengan nama bapa biologi merupakan satu ketetapan hukum yang diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Negeri-negeri. Namun, dari segi fiqh pula, terdapat perbezaan pandangan di kalangan Fuqaha’ nama apa yang seharusnya diambil oleh anak ini. Ini jelas menunjukkan perbezaan fatwa antara negeri-negeri dalam isu ini. Sebagai contohnya, fatwa di Selangor berbeza dengan Perlis dan Wilayah Persekutuan. Justeru itu, mengambil doktrin Siyasah Syariah, negeri boleh menentukan pandangan mana yang sesuai untuk masyarakat setempat. Bagi maksud ini, fatwa negeri tersebut mestilah terlebih dahulu diwartakan supaya ia terikat dari segi undang-undang.

Maka fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya menjadi undang-undang (terikat) di Johor seandainya ia diwartakan di negeri tersebut mengikut Seksyen 49 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen No. 16, 2003).

Tindakan KP JPN menerima pakai fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke atas Responden-responden adalah tidak berasas. Malah KP JPN telah bertindak melampaui kuasa yang diberi kepada Sultan Johor berikutan kuasa Sultan Johor bagi memperkenankan pewartaan fatwa berkenaan sebelum ia mengikat Responden-responden, bukannya KP JPN mengenakan fatwa berkenaan ke atas Responden-responden.

Memandangkan tiada fatwa yang diwartakan mengenai anak tak sah taraf di Johor, KP JPN tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke atas Responden-responden. Pemakaian fatwa tersebut hanya terpakai ke atas negeri Johor sekiranya ia mengikut Seksyen 52(1) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003. Malah KP JPN telah bertindak mengatasi Seksyen 47 di mana hanya Sultan Johor yang mempunyai kuasa dalam persoalan fatwa di Johor. KP JPN tidak boleh bertindak sendiri menentukan salah satu dari pelbagai pandangan untuk diguna pakai ke atas Responden-responden. Justeru itu, KP JPN tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengenakan nama ‘bin Abdullah’ dalam kes ini dan keputusan ini tertakluk kepada banyak persoalan yang berkait.

Melihat kepada keputusan Mahkamah Persekutuan ini, keperluan kepada memperkukuhkan Undang-undang Islam di negeri-negeri. Pewartaan fatwa di negeri-negeri sangat penting supaya ia dapat mengikat dari segi undang-undang. Pandangan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI (Fatwa Kebangsaan) hanyalah bersifat nasihat dan tidak mempunyai kekuatan undang-undang kerana urusan agama Islam diberi kuasa kepada negeri-negeri. Maka usaha supaya penyeragaman fatwa agar ia selaras dan tidak menimbulkan masalah seperti dalam kes ini dapat dikurangkan. Ini dapat dilakukan dalam MKI dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.

Penyeragaman Undang-undang Islam antara negeri-negeri yang sedang diusahakan dengan adanya Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak-Sivil perlu digiatkan agar kes seperti ini tidak berulang. Sekali lagi ia perlu dimajukan kepada MKI dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja. Dalam hal ini, pihak-pihak yang terlibat perlu menggunakan sepenuhnya hikmah dan kebijaksanaan agar ia tidak mengguris hati Raja-raja kerana urusan agama Islam adalah kuasa mutlak Raja-raja.

Persoalan seterusnya, apakah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini dapat menyelesaikan kemelut nama anak tidak sah taraf ‘dibin atau dibintikan Abdullah’. Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan mempersoal pemakaian nama keluarga (surname) dan memutuskan bahawa orang Melayu Islam tidak menggunakannya, penulis mencadangkan agar pihak pemerintah dan penggubal undang-undang meminda Seksyen 13A BDRA dengan memasukkan peruntukan bahawa ia tidak terpakai ke atas orang Islam. Ini selari dengan gagasan Rahmah yang sedang diterapkan oleh kerajaan agar kanak-kanak tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan mendapat hak yang sepatutnya.

PROF. MADYA DR MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia – HARAKAHDAILY 18/2/2020

Advertisement

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.